Agensi, jabatan kerajaan Sabah terbaik Indeks Akauntabiliti

0

KOTA KINABALU: Agensi dan jabatan kerajaan di Sabah mengungguli negeri lain sebagai penerima paling banyak penarafan ‘sangat baik’ (empat bintang) dalam Indeks Akauntabiliti (IA) oleh Ketua Audit Negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, tahun ini sebanyak 24 daripada 35 agensi dan jabatan di negeri ini mendapat penarafan empat bintang berbanding 20 pada 2013.

“Prestasi pengurusan kewangan agensi dan jabatan negeri ini cukup membanggakan apabila tiga tahun berturut-turut beroleh penarafan empat bintang yang tinggi dan tahun ini merupakan pencapaian terbaik Sabah,” katanya ketika merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun negeri di sini, semalam.

Katanya, daripada 24 organisasi terbaik itu, enam daripadanya adalah badan berkanun negeri termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Koperasi Pembangunan Desa, Lembaga Industri Getah Sabah dan Lembagai Kemajuan Perhutanan Sabah (SAFODA).

Dalam pada itu, Musa meminta pengurusan tinggi agensi dan jabatan kerajaan untuk terus menunjukkan prestasi tinggi seterusnya melaksanakan pengurusan efisyen dan akauntabiliti.

Katanya, selaku pengerusi dan ahli lembaga pengarah sesebuah agensi dan jabatan kerajaan, mereka perlu memainkan peranan penting bagi memegang amanah serta menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen.

“Jangan sesekali menyalahgunakan kuasa yang diberi kerajaan tetapi hendaklah memastikan tiada sebarang ketirisan dalam menjaga kewangan atau dana milik kerajaan dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap kursus tahunan anjuran Kementerian Kewangan negeri yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri itu, dapat meningkatkan amalan tadbir urus yang baik termasuk daripada segi perundangan dan peraturan semasa.

“Ia juga dapat mewujudkan kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC,” katanya

Beliau berkata, penting bagi anggota lembaga pengarah memastikan badan berkanun dan GLC berada pada kedudukan kukuh serta sentiasa mendapat keuntungan dan berkemampuan untuk membayar hutang atau dividen kepada kerajaan. — Bernama