Amaran ke atas individu menjual hidupan liar terlindung di laman sosial

0

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menggunakan laman sosial sebagai medium perniagaan dan pemerdagangan hidupan liar yang dilindungi.

Pengarahnya William Baya berkata, hidupan liar yang dilindungi itu termasuk reptilia, burung, mamalia dan hidupan liar lain yang dipasarkan menerusi laman sosial seperti Facebook, Instagram dan aplikasi Whatsapp.

“Kita dapati terdapat penjual dan individu kini berani menggunakan Facebook sebagai medium perniagaan hidupan liar terlindung.

“Oleh itu, pihak kita menyedari hal ini dan sedang memantau keadaan bagi membendung kegiatan yang menyalahi undang-udang menerusi kerjasama semua pihak termasuk orang awam,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma MUIS kelmarin.

William berkata, hasil daripada aduan orang ramai, pihaknya telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan telah dihadapkan di mahkamah pada 30 Julai lalu kerana didapati memasarkan hidupan liar menerusi Facebook.

Menurutnya, lelaki itu didakwa di mahkamah kerana memiliki seekor ‘Clouded Leopard’ (Neofelis Nebulosa) iaitu harimau dahan masih hidup dan dilindungi sepenuhnya seperti disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual 1, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Tegasnya, mereka yang cuba menjual atau memiliki haiwan dilindungi sepenuhnya akan dikenakan penjara selama lima tahun dan denda RM50,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

“Modus operandi penjualan hidupan liar ini adalah menerusi rangkaian kumpulan tertutup di Facebook yang menjual pelbagai jenis binatang peliharaan dengan lebih 21,000 keahlian.

“Bagaimanapun, beberapa ahli yang amat peka mengenai hal ini telah bertindak memaklumkan kepada pihak jabatan dan membolehkan kita menangkap individu yang cuba menjual hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

“Justeru, pihak kita berharap semua pihak yang terbabit yang ada memiliki hidupan liar terlindung supaya menyerah diri kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah tanpa dikenakan sebarang tindakan,” katanya.

William berkata, antara haiwan liar yang cuba dipasarkan menerusi laman sosial ialah beruang madu, tenggiling, kucing hutan dan juga burung enggang.

Katanya, sepanjang tempoh enam bulan pada tahun ini, terdapat 23 kes direkodkan yang melibatan kira-kira 35 individu yang ditahan untuk siasatan bagi pelbagai kes yang melibatkan pemburuan, penjualan dan juga penghantaran hidupan liar terbabit.