Penduduk luar bandar perlu diberi kesedaran penjagaan kesihatan

0

TENOM: Masyarakat luar bandar perlu didedahkan dengan kesedaran penjagaan kesihatan dan rawatan yang diperlukan bagi sesuatu penyakit.

Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi berkata, jarak dan rupa bentuk geografi di kawasan luar bandar adakalanya menyukarkan penduduk kampung mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik.

“Beberapa keperluan dalam perkhidmatan kesihatan akan diberikan perhatian seperti klinik desa dan klinik kesihatan di beberapa tempat yang akan dibina pada masa akan datang untuk kemudahan penduduk di luar bandar,” katanya ketika merasmikan Kem Kesihatan Kampung Tilis anjuran Bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kawasan Keningau dan Pejabat Kesihatan Keningau di Kampung Tilis, di sini Ahad lepas.

Katanya, kadar kos perubatan hari ini semakin tinggi bagi sesuatu penyakit, justeru perkhidmatan kesihatan secara percuma yang dilaksanakan oleh panel kesihatan zon pedalaman itu secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung dari segi pemeriksaan dan rawatan kesihatan.

Raime berkata, kalau dahulu Klinik Kesihatan Kemabong tidak mempunyai doktor tetapi hari ini ia telah mempunyai doktor setelah pihaknya usahakan dan mendapat perhatian daripada kerajaan.

“Kita menyedari masih banyak keperluan di luar bandar dalam aspek kesihatan, namun kerajaan akan terus membantu rakyat mengikut keperluan,” katanya.

Pada program itu, rawatan dan pemeriksaan kesihatan seperti gigi, mata, tekanan darah dan sebagainya disediakan oleh panel penasihat klinik kesihatan yang terbabit.

Hadir sama, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Zon Pedalaman Tony Munting, Pengerusi Panel Penasihat Peringkat Negeri Sabah Stanly Chin, Pegawai Perubatan Daerah Tenom Dr Mohd Shafiq Abdul Majid, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Daerah Kecil Kemabong Dr Thien Wei Khiong, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Melalap Dr Ahmad Syukri Rodzen, Naib Ketua Pemuda UMNO Tenom Rusali Andiar dan AJK Bahagian UMNO Tenom.