Kerajaan sentiasa mengawal industri pembinaan

1
RASMI: Fadillah merasmikan Pondok Keselamatan Taman Jaya & Foong Joon anjuran Badan Kebajikan, Keselamatan dan Sosial Taman Kubah Jaya & Taman Foong Joon, malam kelmarin.

RASMI: Fadillah merasmikan Pondok Keselamatan Taman Jaya & Foong Joon anjuran Badan Kebajikan, Keselamatan dan Sosial Taman Kubah Jaya & Taman Foong Joon, malam kelmarin.

Terutama libatkan pekerja asing walaupun mereka turut diperlu berdasarkan peluang yang wujud, Fadillah

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa kerajaan sentiasa mengawal industri pembinaan di Malaysia, terutama yang melibatkan pekerja asing.

Katanya pekerja asing dalam pembinaan di negara ini turut diperlukan berdasarkan peluang yang wujud dalam industri pembinaan.

“Kalau kita melihat mungkin belum berlaku di Sarawak, dari segi pekerja asing atau orang asing yang membuat perniagaan industri pembinaan atau kerja pengubahsuaian.

“Tetapi di Semenanjung telah banyak berlaku dan bahagian paling teruk ialah mereka tidak berdafatar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), tidak melalui kursus-kursus sehinggakan mereka menjadi orang berkemahiran yang tidak patut berada di tapak pembinaan,” katanya.

Sebab itu berlakunya kemalangan seperti runtuhan dan sebagainya di peringkat mereka dan perkara tersebut yang kerajaan ingin kawal, jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2015 dan Perasmian Pondok Keselamatan Taman Jaya & Foong Joon anjuran Badan Kebajikan, Keselamatan dan Sosial Taman Kubah Jaya & Taman Foong Joon di sini, malam kelmarin.

Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, industri pembinaan, khususnya pengubahsuaian yang berkembang di negara ini perlu memberi fokus kepada generasi muda.

“Kedua, saya kira ini peluang kepada masyarakat kita khususnya generasi muda dalam bidang industri pembinaan, fokus kepada pengubahsuaian kerana banyak peluangnya.

“Kalau kita dapat 10 peratus daripada berbilion, kita dapat puluhan juta. Ini yang saya kira patut digalakkan kepada anak-anak muda kita,” jelasnya.

Tambah Fadillah juga, terdapat beberapa perkara perlu diambil berat dalam pembinaan.

“Ada beberapa perkara lain yang kita perlu ambil berat dalam bidang pembinaan khususnya di Sarawak ini dan kita kena bekerja rapat dengan DUBS serta Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI), agar kontraktor Bumiputera dapat bersaing (dalam tender yang dibuka dalam kita membina Lebuh Raya Pan Borneo),” jelasnya.

Tambahnya bukan hanya perlu melihat sudut kewangan dan kemudahan, generasi muda perlu mencari jalan bagaimana mereka boleh bersaing di negara dan negeri ini.

Ketika ditanya mengenai kajian terhadap warga asing dalam ruang tersebut serta jumlah keuntungan, Fadillah memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai data lengkap.

“Saya tiada angka lengkap, tetapi kita membuat secara rambang. Memang di mana-mana sekarang, di Kuala Lumpur khususnya, kebanyakannya dibuat oleh pekerja asing,” jelasnya.

Ketika ditanya dalam undang-undang, Fadillah berkata  ia dibolehkan sekiranya mereka berdaftar.

“Tetapi yang kita khuatiri, mereka yang bukan orang berdaftar dan mereka tidak boleh melaksanakan sektor ini… itu yang kita kena siasat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya akan melihat perkara ini.

“Yang penting orang ramailah. Sekiranya mereka ingin membuat kerja pengubahsuaian, pastikan mengambil syarikat yang berdaftar dengan CIDB supaya mereka terpelihara dan tidak ditipu oleh kontraktor yang tidak berdaftar,” ujarnya.

Ketika diminta nasihatnya kepada orang ramai, beliau memaklumkan bahawa pekerja asing perlu memiliki Kad Hijau untuk berkhidmat di negara ini.

“Yang kedua, pekerja yang masuk ke tapak pembinaan mesti memiliki Kad Hijau.

“Bermakna mereka adalah orang yang terlatih, bahawa apa kerja yang dibuat mengikut standard dan spesifikasi yang ditetapkan supaya tidak nanti berlaku keruntuhan rumah dan sebagainya.

“Manakala ketiga, mereka akan terlindung disebabkan syarikat ini berdaftar… kalau apa-apa berlaku mereka boleh menuntut di peringkat perundangan.

“Kalau syarikat berdaftar, apatah lagi mereka yang melaksanakan kerja ini adalah orang asing yang masuk secara tidak sah… mereka tidak akan terpelihara daripada sudut perlindungan,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa orang ramai boleh menyemak dengan CIDB untuk memastikan mereka mengambil syarikat yang berdaftar.

“Dan apabila pekerja masuk, mereka boleh tanya adakah mereka memiliki Kad Hijau daripada CIDB,” ujarnya.

Selain jamuan dan perasmian pondok keselamatan dan  persembahan, turut diadakan acara cabutan bertuah dan penyampaian hadiah galakan kepada lima pelajar SPM iaitu Nurul Nasriyah Mahron (8A), Nursabrina Kelana (7A), Mohamed Asraf Jaafar (5A), Nurhafiza Izlin Mohd Zalleh (4A) dan Mohamad Hazim Mohamad (3A).

Turut hadir Penasihat Jawatankuasa Kejiranan Mazlan Mohamad Salleh.