Program pembangunan sepak takraw Sarawak perlu dirancakkan, kata Karim

0

KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) merancakkan program pembangunan sepak takraw bagi menghidupkan semula sukan itu di negeri ini.

Beliau berkata, sukan sinonim dengan kaum Bumiputera itu kian tenggelam di kalangan remaja hari ini dan PSS selaku badan induk sepak takraw negeri perlu tampil dengan pelbagai inisiatif seperti memperbanyakkan pertandingan di peringkat tempatan.

“Sebagai permulaan, PSS boleh menganjurkan liga sepak takraw peringkat bahagian, daerah ataupun sekolah-sekolah.

“Ini perlu dillaksanakan secara berterusan agar kita dapat melihat pencapaian para atlet selain dapat melahirkan bakatbakat baharu,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Exco PSS yang diketuai Presidennya, Datuk Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki di pejabatnya di sini semalam.

Hadir sama jurulatih skuad wanita SUKMA XVIII Sarawak, Sura Martwangsang.

Selaku Penasihat PSS, Abdul Karim turut memberi penekanan terhadap pentingnya pemain-pemain sepak takraw menjalani latihan pendedahan baik di dalam mahupun luar negara bagi meningkatkan kualiti permainan mereka.

“Ini membolehkan atlet-atlet Sarawak mampu memberi saingan pada pertandingan bertaraf kompetitif seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

“Saya percaya jika atlet-atlet kita mendapat latihan yang baik mereka dapat menjadi atlet yang terbaik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berharap sentuhan Sura yang berasal dari Thailand dapat membantu skuad wanita Sarawak memenangi pingat pada SUKMA XVIII 2016.

Sementara itu, Abang Khalid berharap kerajaan negeri dapat menambah peruntukan tahunan persatuan itu bagi membolehkan PSS melaksanakan pelbagai bentuk program pembangunan yang dirangka.

Menurutnya, peruntukan terhad menyukarkan PSS menggerakkan program-program yang dirancang di seluruh negeri dalam usaha mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan.

Beliau juga mendedahkan, PSS akan mengadakan pertandingan sepak takraw terbuka bagi pasukan sekitar Kuching dan Samarahan pada penghujung Ogos ini bagi merebut Piala YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Selain itu, kita juga akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Borneo yang dijangka diadakan pada Oktober depan di Miri bagi merebut Piala YB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg,” katanya.

Menurut Abang Khalid, pertandingan tersebut amat bermakna buat PSS kerana bersamaan dengan sambutan 50 Tahun Jubli Emas persatuan tersebut.