Henti sementara penggunaan vape, shisha

0

Kementerian akan dapatkan pandangan tentang kesan alat tersebut pada kesihatan

PUTRAJAYA: Pengguna shisha dan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape, dinasihatkan berhenti menggunakannya buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai risikonya diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menasihatkan demikian, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementerian sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan vape dan shisha kepada kesihatan.

“Pada pandangan kementerian, kami menganggap ia sebagai satu lagi bentuk rokok tetapi caranya berbeza. Pengguna akan mendapat semua kesan seperti menghisap rokok cuma mungkin kandungan tar lebih rendah tetapi kesan nikotin adalah sama.

“Jangan jadikan ia sebagai kebiasaan dan jangan jadikan ia sebagai fesyen baharu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Rokok elektronik adalah satu alat yang mensimulasi atau menyerupai cara merokok dan setiap kali disedut, cip komputer elektronik yang dikuasakan oleh bateri akan menghidupkan atomizer yang kemudian akan memanaskan cecair bagi menghasilkan wap.

Baru-baru ini, laporan media mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir penghisap rokok elektronik.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kementerian juga tidak menggalakkan mana-mana pihak untuk menanam ketum sebagai sumber ekonomi kerana ia membawa kepada masalah sosial yang besar dalam kalangan generasi muda.

“Contohnya murid sekolah campur air ketum dengan Coca Cola sebelum pergi ke sekolah. Di sekolah mereka tidak berada dalam keadaan yang sesuai untuk mendapat pendidikan,” katanya.

Cadangan pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memasukkan takrifan baharu bagi daun ketum dan menyenaraikannya sebagai dadah berbahaya telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.

Bagaimanapun, menurut Dr Subramaniam ia ditangguhkan sementara bagi membolehkan kementeriannya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengambil kira pandangan para Ahli Parlimen. — Bernama