Malaysia mulakan buruan pingat pertama WSC 2015

0
BERSEMANGAT: Kontinjen Malaysia semasa perarakan kontinjen negara di upacara pembukaan WorldSkills Competition 2015 di Ibirapuera Gymnasium di Sao Paulo, semalam. — Gambar Bernama

BERSEMANGAT: Kontinjen Malaysia semasa perarakan kontinjen negara di upacara pembukaan WorldSkills Competition 2015 di Ibirapuera Gymnasium di Sao Paulo, semalam. — Gambar Bernama

SAO PAULO: Perasmian World Skills Competition (WSC) Ke-43, yang dihadiri pakar-pakar vokasional dan belia-belia berkemahiran dari serata dunia, berlangsung penuh meriah dengan pelbagai persembahan di negara Samba ini, pada Selasa.

Majlis itu, yang bertema ‘The World Chose Brazil’, bermula pada jam 7.30 petang waktu tempatan (6.30 pagi Rabu waktu Malaysia) dan menampilkan persembahan kesenian, muzik serta tarian menerusi gandingan 400 penari dengan berlatarkan kesan imej, bunyi dan pencahayaan khas.

Artis tempatan termasuk pemain akordion Renato Borgueti, pemain gitar Gabriel Sater dan Vai-Vai Samba School turut membuat persembahan pada majlis itu yang berlangsung selama tiga jam dan diacarakan oleh model dan selebriti televisyen Didi Wagner.

Seramai 20 peserta Malaysia yang berpakaian hitam dengan bangganya mengibarkan Jalur Gemilang pada perarakan kontinjen negara di Ibirapuera Gymnasium di sini, sebelum memulakan buruan pingat yang dinantikan sejak sekian lama pada pertandingan itu yang dikatakan setaraf olimpik.

Lebih 1,200 peserta muda dari 60 negara mengambil bahagian pada pertandingan lima hari itu.

Sebanyak 50 bidang kepakaran termasuk mekatronik, elektronik, masakan, teknologi fesyen, teknologi automotif, kimpalan, perpaipan dan pemanasan dipertandingkan pada WSC 2015 yang diadakan di Anhembi Park, pusat pameran terbesar di negara Amerika Latin ini.

Malaysia, yang mengambil bahagian buat kali ke-12 sejak 1993, akan menyertai 19 daripada 54 bidang kepakaran pada pertandingan dwitahunan itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib mengetuai kontinjen Malaysia yang dibarisi 105 orang pada pertandingan itu.

Antara yang menyertai pertandingan itu ialah pemenang anugerah Tangan Emas Perdana Menteri Kategori Belia 2014, Muhammad Hafiz Rohani, 21.

Pelajar GIATMARA Prima Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu akan bersaing dengan 39 peserta dari negara lain dalam bidang kemahiran pemasangan elektrik.

Malaysia belum pernah memperoleh sebarang pingat pada WSC, namun peserta negara sehingga kini mengumpul 36 Pingat Kecemerlangan iaitu anugerah bagi peserta yang mendapat 500 mata dan ke atas bagi pelbagai bidang dalam kesemua penyertaan mereka. — Bernama