Jelajah Piala Melbourne 2015, Piala WWII di Sabah

0

Peringat pengorbanan tentera Australia semasa WWII

KOTA KINABALU: Replika Piala Melbourne yang asalnya dibuat dalam kem tahanan perang di Sandakan pada 1942 dan Piala Emirates Melbourne 2015 dipamerkan di sini kelmarin dalam jelajah tahunan ke-13 piala itu.

Piala Melbourne 2015 dan replika piala 1942 itu dipamerkan kepada orang ramai di Hotel Le Meridien Hotel bersempena Hari Peringatan Sandakan ke-70 pada 15 Ogos.

Bekas tahanan perang (PoW) Leftenan Leslie Bunny Glover, 94, dari Queensland, berkongsi dengan audien pada majlis resepsi di hotel itu malam kelmarin, kisah asal usul Piala 1942 itu yang diperbuat daripada tin dan kayu dan bagaimana ia dibawa ke Kuching sebelum akhirnya tiba di Melbourne, Australia.

“Ia merupakan sesuatu yang amat luar biasa untuk membawa kedua-dua Piala  Melbourne dan Piala Melbourne Sandakan PoW secara bersama-sama. Hanya segelintir negara mendapat peluang untuk menerima kedatangan ikon bersejarah dalam sukan Australia ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah anggota Persatuan Polo Sabah, Kelab Perlumbaan Victoria yang berpangkalan di Melbourne dan anggota keluarga dan rakan-rakan PoW Australia.

Leftenan William E Peck, yang dipindahkan dari Sandakan untuk ditempatkan  di kem PoW Batu Lintang di Kuching dan dibebaskan pada akhir Perang Dunia Kedua (WWII), bertanggungjawab membawa Piala Melbourne dari Kuching ke Australia.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata usaha membawa Piala Emirates Melbourne 2015 ke negeri ini mencerminkan hubungan rapat antara Australia, Malaysia dan khususnya Sabah.

“Jelajah ini mengingatkan kami akan pengorbanan tentera Australia semasa  WWII dan hubungan sesama manusia, dan kami mengucapkan terima kasih kepada  Australia atas kesudian membawa Piala Melbourne dalam jelajah tahunannya ke Sabah,” katanya.

Pada majlis itu, Presiden Keluarga dan Rakan PoW Queensland Sandakan Michael Glover menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Bangkuai bagi membantu mangsa gempa bumi di Ranau.

Glover akan menyerahkan replika Piala Melbourne 1942 kepada pihak Muzium Negeri Sabah pada tarikh yang akan ditentukan. Piala 1942 yang asal kini ditempatkan di Muzium Perang Australia di Canberra.

Kedua-dua piala itu akan dipamerkan di Four Points by Sheraton Sandakan dari semalam hingga Jumaat. — Bernama