Kurangkan import makanan

0

Petani, penternak dan nelayan disaran tingkat produktiviti

WESTON: Timbalan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Mohd Nazri Abdullah mahu golongan petani, penternak dan nelayan di negara ini terus giat meningkatkan produktiviti bagi membantu kerajaan mengurangkan import barangan makanan.

Beliau berkata, ketika ini negara masih mengimport kira-kira 30 peratus bekalan beras, 70 peratus daging lembu, 85 peratus daging kambing dan sayur-sayuran untuk menampung keperluan sumber makanan negara.

“Peningkatan produktiviti dalam sektor utama amat penting bagi membantu kerajaan mengurangkan import barang makanan keperluan dan ini amat membantu kerajaan kita mengimbangi kesan daripada kemerosotan nilai ringgit pada masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Integrasi Peladang anjuran Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beaufort di Kampung Lubok, di sini semalam.

Mohd Nazri yang juga Pengerusi PPNS berkata, lebih 860,000 petani, penternak dan nelayan yang juga anggota PPK seluruh negara adalah penggerak paling kuat dan berkesan membantu kerajaan dalam keadaan ekonomi kini yang susut nilai ringgit.

“Jika setiap daripada anggota PPK yang bernaung di bawah Nafas itu dapat menggandakan pengeluaran masing-masing, maka kerajaan dapat menjimatkan banyak perbelanjaan bagi mengimport barangan keperluan,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan nilai ringgit sekarang, setiap import barangan akan menambahkan beban kewangan kerajaan dan tempiasnya juga akan dirasai oleh rakyat.

“Dalam keadaan seperti ini, seboleh-bolehnya kita kurangkan import dan tingkatkan pengeluaran dalam negara supaya tidak berlaku aliran keluar ringgit,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazri turut mengajak golongan petani, penternak dan nelayan persendirian agar mendaftar sebagai anggota PPK berikutan kemudahan dan bantuan yang pelbagai boleh diperoleh untuk meningkatkan pendapatan.

“Banyak manfaat kita dapat jika kita menjadi ahli PPK. Selain khidmat nasihat dan subsidi, mereka juga boleh melabur dalam Dana Peladang Kebangsaan (DPK) dan dividen dibayar kepada setiap pelaburan,” katanya.

Ketika ini, menurutnya, terdapat 278 PPK seluruh negara yang dipayungi oleh 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan mereka yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada PPK di tempat masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut bersedia membantu siswazah menganggur untuk menjadi siswazah tani bagi membangunkan bidang pertanian dan penternakan dalam skala besar, sekali gus menjadikannya sebagai bidang kerjaya. — Bernama