PBB sudah sedia

0
PERSIAPAN RAPI: Adenan (duduk tengah) bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB, Kuching semalam.

PERSIAPAN RAPI: Adenan (duduk tengah) bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB, Kuching semalam.

Parti mungkin tampil lebih ramai muka baharu, gugur sebahagian penyandang pada PRN: Adenan

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mungkin menampilkan lebih ramai muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan sebelum 20 Jun 2016.

Menurut Presidennya Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, sebahagian daripada penyandang sedia ada dalam PBB mungkin akan digugur.

“Setiap kali pilihan raya pasti ada sedikit perubahan daripada segi calon. Saya rasa pada PRN akan datang, mungkin lebih ramai muka baharu.

“Sebahagian daripada penyandang sedia ada menyatakan hasrat bersara, sebahagian kata boleh meneruskan satu penggal lagi, manakala sebahagian perlu digugur,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini semalam.

Ditanya mengenai persediaan PBB secara keseluruhannya, Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri dan Ketua Menteri berkata, parti telah bersedia menghadapi PRN.

Malah, katanya, semua parti komponen BN lain terdiri daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) diarah supaya membuat persediaan awal serta menyelesaikan pertikaian dalaman parti masing-masing.

Mengulas mengenai mesyuarat berlangsung selama tiga jam semalam, Adenan berkata ia membincangkan mengenai strategi yang akan diguna pakai menjelang PRN nanti.

Enggan mendedahkan strategi yang telah dibincang, Adenan percaya ia merupakan pendekatan komprehensif PBB.

“Kami juga membincangkan bila pilihan raya diadakan, tetapi saya tidak boleh mendedah kepada anda bila tetapi yang pasti sebelum 20 Jun 2016,” katanya sambil menambah keahlian PBB kini telah mencecah lebih daripada 300,000 orang.

Pada mesyuarat semalam, ahli MKT turut mempersetujui semua keputusan, polisi dan pelantikan yang dibuat Adenan setakat ini.

Sehubungan itu, Adenan pada sidang media semalam menyatakan penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bahagi ahli MKT PBB dan BN secara keseluruhannya kepada beliau.

Selesai mesyuarat semalam, Adenan serta isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu bersama-sama memeriahkan Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat PBB.

Selain Adenan, majlis turut dihadiri pemimpin tertinggi PBB dan BN yang lain antaranya Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Presiden Kanan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.