Pedalaman Bawah Sabah johan keseluruhan Ihtifal KAFA

0

KOTA KINABALU: Peserta daripada Pedalaman Bawah muncul johan keseluruhan Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) peringkat Sabah tahun ini, selepas memenangi lapan daripada 10 kategori yang dipertandingkan.

Lapan kategori tersebut termasuk pertandingan nasyid berkumpulan, syarahan bahasa Arab kategori lelaki, penulisan Jawi dan penulisan Khat.

Sementara itu, Pantai Barat Selatan muncul naib johan manakala Pantai Barat Utara berada di kedudukan ketiga.

Kesemua pemenang menerima sijil serta trofi penghargaan, dan johan pertandingan akan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Ariffin Mohd Arif di Dewan Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah dekat sini kelmarin.

Sebelum itu, Ariffin dalam ucapannya, menasihatkan agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi KAFA di setiap premis di negeri ini, diaktifkan semula.

Beliau berkata ini bagi membolehkan segala keperluan KAFA dapat dipenuhi secara muafakat antara jawatankuasa KAFA dan PIBG, serta peranan pemimpin setempat. — Bernama