Sarawak, Brunei akan bekerjasama bangun wilayah industri hiliran

0

BANDAR SERI BEGAWAN: Sarawak dan negara Brunei bakal meneroka kerjasama lebih luas dalam usaha membangun wilayah negeri bersempadan negara kesultanan itu kepada hab pengeluaran makanan dan industri hiliran menerusi perjanjian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia antara kepentingan bersama dibincang kedua-dua pihak yang berhasrat menerokai bersama potensi dengan lebih jauh.

“Perbincangan bersama dengan Sultan Brunei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah sendiri, telah membuah hasil yang memberangsangkan.

“Ia termasuk kemungkinan kerjasama dalam bidang pertanian dan membangunkan hab pengeluaran di wilayah Teluk Brunei, meliputi negara Brunei dan Sarawak,” tambahnya.

Jelasnya, kedua-dua pihak berminat untuk melonjak pembangunan ekonomi dengan memberi penekanan kepada kawasan Temburong, Brunei yang berada di tengah-tengah bahagian Limbang dan Lawas sekali gus menjadikan ia kawasan  berpotensi dalam usahasama dua negara.

“Malah bidang penternakan di utara negeri ini boleh dikembangkan untuk produk makanan halal seterusnya dieksport ke luar negara selain memenuhi keperluan domestik.

“Negara Brunei sudah mempunyai jenama halal cukup berprestij dalam pelbagai produk serta kecemerlangan hubungan (pengangkutan) udara dan infrastruktur pelabuhan serba lengkap,” katanya.

Awang Tengah menambah, manakala Sarawak pula mempunyai aset tanah cukup luas untuk membangun pertanian dan ternakan, memboleh kedua-dua pihak mengeskploitasi potensi tersebut di bawah kerjasama BIMP-EAGA.

Awang Tengah memberitahu demikian ketika ditanya berhubung  dibincangkan selama 20 minit dengan Sultan Hassanal Bolkiah, semasa menjadi tetamu jemputan khas mengiringi TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke Majlis Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Ke-69 di Istana Nurul Iman pada Sabtu lalu.

Turut mengiringi Tun ialah isteri beliau, Toh Puan Ragad Kurdi Taib. Hadir sama ialah isteri Awang Tengah, Datuk Dayang Morliah Awang Daud serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Panglima Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin dan kaum kerabat Diraja Brunei.

Tun Taib kemudiannya turut berangkat ke majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja selain turut menghadiri Istiadat Perbarisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan disusuli dengan Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman.

Sambutan hari kebesaran negara Brunei itu yang diraikan semalam sebulan bermula 15 Ogos lalu dengan pelbagai atur cara diadakan diseluruh pelusok negara kesultanan itu.