Polis selesaikan dua kes pecah rumah

0

KENINGAU: Polis Keningau berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah dan pejabat persendirian serta samun sebuah kedai runcit di daerah Tambunan untuk tempoh Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Keningau DSP Douglas Nyeging Taong berkata, hasil kejayaan itu pihaknya telah menahan seramai lima suspek remaja lelaki tempatan berumur 15 hingga 26 tahun.

Katanya, hasil ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis syabu.

“Salah seorang suspek yang ditahan berasal dari daerah Ranau yang mempunyai kesalahan samun di sebuah kedai runcit itu didapati mempunyai kesalahan lain iaitu mencuri sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi di Ranau,” katanya pada sidang media di pejabatnya kelmarin.

Douglas berkata, dalam kejadian samun itu suspek telah mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dan memaksa mangsa mengeluarkan duit dari laci mengakibatkan mangsa panik dan menjerit meminta pertolongan.

Dalam kesempatan itu katanya, suspek telah melarikan laci yang berisi duit berjumlah RM75.

“Suspek telah ditahan oleh sepasukan polis dari IPD Ranau, suspek juga menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu untuk tujuan samun,” katanya.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala empat suspek yang terlibat kes pecah rumah dan pejabat pula telah disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda dan sebat, serta Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Keempat-empat suspek itu telah mencuri 15 telefon bimbit pelbagai jenis, dua kamera, wang tunai RM3,130, kad tambah nilai pelbagai jenis berjumlah RM7,000, seutas rantai, sebuah alat permainan elektronik PSP dan seunit Walkman,” katanya.

Douglas berkata, anggaran hasil yang dicuri oleh suspek kesemuanya bernilai RM17,754.

Katanya, kelima-lima suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.