Saribas United mara ke pusingan akhir Piala Jabu

0

BETONG: Skuad Saribas United berjaya mara ke pusingan akhir Piala Datuk Patinggi Jabu Edisi Ke-17 setelah berjaya mengekang serangan pihak lawan, Permata Kota.

Pengurus Saribas United, Saiful Hanizam Suhaini berkata kedua-dua pasukan amat kuat dan menyaksikan semua jentera pertahanan dan tengah.

“Saya amat gembira apabila melihat keputusan separuh akhir ini adalah milik pasukan kami.

Saya tidak menyangka Saribas United dapat menundukkan pasukan mempunyai pengalaman dalam saingan Liga Betong ini,” katanya.

Ternyata kemasukan tiga pemain baharu iaitu Paul Sambang, Zulmizan Bujang dan Zamri Zainal memantapkan jentera serangan dan pertahanan membuahkan hasil.

“Ini merupakan penyertaan pertama kami dalam kancah Liga Betong dan Piala Datuk Patinggi Jabu.

Justeru itu, kejayaan melangkah ke final merupakan suatu pencapaian terbaik buat skuad kami,” jelasnya.

Saiful menambah, sememangnya tidak menyangka gabungan pemain Saribas United terdiri anak-anak Kampung Bungin, Debak, Pusa dan Saratok mampu melangkah ke final.

Justeru itu, beliau amat berbangga dengan pencapaian dan prestasi terbaik anak-anak buahnya.

Ketika diminta mengulas tentang perlawanan akhir bertemu Pelados FC nanti, Saiful menjelaskan kedua-duan pasukan masing-masing memiliki kelebihan.

“Siapa yang menang akan bergantung kepada strategi digunakan dan bagi Saribas United, kami berusaha memberikan yang terbaik pada final itu nanti,” ujarnya bersemangat.

Saribas United turun dengan misi penting memenangi perlawanan itu berjaya membelasah Permata Kota 10-1.

Penyerang sensasi Paul Sambang dan Alby Mustapha masing-masing menjaringkan hatrik.

Manakala, Zulmizan Bujang dengan dua jaringan dan Abdul Rahman Rashid satu jaringan.

Jaringan sendiri pertahanan Permata Kota.

Sementara jaringan tunggal Permata Kota dijaringkan oleh Mohamad Sabri Talip.