Tunjuk komitmen kibar Jalur Gemilang

0

TAWAU: Setiap individu perlu menunjukkan semangat dan komitmen tinggi untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana usaha itu menunjukkan warga Tawau khasnya bersatu hati mempertahankan pengisisan nikmat kemerdekaan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat

berkata, kibar Jalur Gemilang adalah simbol kebanggaan rakyat di Malaysia sebagai sebuah negara, identiti dan ia juga adalah simbol perpaduan serta kesatuan selain tanda kesyukuran, penghargaan kepada negara yang memberi banyak peluang untuk menikmati erti kemerdekaan.

Beliau berkata, warga Tawau diminta agar menjadikan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 sebagai platform untuk menghayati erti kemerdekaan dalam sesebuah negara selain mengambil ikhtibar penderitaan yang dialami oleh mesyarakat terdahulu.

Beliau berkata demikian pada majlis Program Kembara Jalur Gemilang 2015 Peringkat Daerah Tawau di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka Tawau.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Hj Abdul Muis Hj Picho berkata, perjuangan masyarakat terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan adalah semata-mata demi tanah air serta untuk generasi hari ini dan akan datang, bagaimanapun jasa mereka itu tidak akan terbalas walau dengan apa cara sekalipun.

Menurutnya, warga Tawau perlu mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kemerdekaan kerana ia bukan sesuatu yang sukar untuk dilakukan yang mana tidak menuntut kepada pengorbanan nyawa, wang ringgit dan masa namun dengan cara itu semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dapat disemarakkan lagi.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Tahun 2015 peringkat perbandaran Tawau di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Pada majlis itu juga, beliau turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Jabatan serta agensi kerajaan, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), mengagih-agihkan bendera kecil kepada kenderaan yang melalui Jalan Dunlop dan melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Seramai 92 orang menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang terdiri daripada Jabatan dan agensi kerajaan serta orang persendirian.

Turut hadir, Presiden MPT Datuk Ismail Mayakob.