Kuching bakal bergema dengan ‘Kuching International Bike Week’ 3-6 Sept

0

KUCHING: Bandar raya Kuching bakal bergema dengan deruan motosikal dari 3 hingga 6 September ini sempena ‘Kuching International Bike Week (KIBW) 2015.’

Sehubungan itu, Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjemput peminat motosikal pelbagai jenis memeriahkan temasya terbabit yang akan berlangsung di CityOne Megamall.

“Sehingga kini, 900 peminat motosikal dari dalam dan luar negara telah mendaftar bagi acara terbesar ini,” ujarnya pada sidang media di Hotel Imperial di sini, semalam.

Abdul Karim berkata, pelbagai acara bakal memeriahkan KIBW termasuk pameran produk dan perkhidmatan berkaitan motosikal dengan acara kemuncaknya ‘Gala Dinner’ pada 5 September di Imperial Grand Ballroom, Hotel Imperial.

“Ini merupakan acara terbaik bagi Sarawak,” kata isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu yang turut hadir pada sidang media tersebut.

Dianjurkan oleh ‘Iron Tiger Bikers Club Kuching (ITBCK),’ festival ini terbuka kepada orang ramai dan sarat dengan pelbagai program khusus untuk peminat motosikal.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur KIBW yang juga Presiden ITBCK Datin Elly Zalilah menjelaskan pendaftaran boleh dibuat mulai sekarang.

Sehubungan itu, peserta boleh mendaftar sebagai ‘Very Important Biker (VIB)’ dengan yuran sebanyak RM230 setiap orang.

“Kita berasa sangat gembira dapat menganjurkan KIBW ini yang mendapat sokongan daripada pelbagai pihak,” jelasnya sambil menambah KIBW 2015 turut mendapat sokongan kerajaan negeri.

Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan termasuk pameran motosikal berkuasa tinggi, persembahan oleh artis oleh terkemuka negara dan antarabangsa serta acara cabutan tiket bertuah.

Pada hari pertama iaitu 3 September bermula jam 10 pagi sehingga 9 malam, berlangsung pendaftaran dan pengambilan beg penyertaan ‘Festival & Trade Fair’ berlangsung di CityONE Rooftop dan Ground Floor.

Pada hari kedua, berlangsung ‘Cruise for a Cause (CRUFAC)’ ke Kampung Benuk Padawan pada jam 9 pagi dan pada masa sama peserta boleh mengikuti ‘Aaron Twite Wheelie School’ di Stadium Negeri.

Manakala, pendaftaran serta pengambilan beg penyertaan juga boleh dilakukan bagi ‘Festival & Trade Fair’ di CityOne Rooftop pada jam 10 pagi, diikuti pada jam 5 petang persembahan aksi lagak negeri daripada Stunt Rider Aaron Twite dari Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat di lokasi sama.

Persembahan pembukaan bagi konsert memperkenalkan artis terkemuka tanah air pada jam 7 malam hingga 9.30 malam di CityOne Rooftop.

Pada hari ketiga pula, diadakan ‘City Ride + CRUFAC’ bermula di MBKS+Damai, Santubong bermula jam 9 pagi.

Manakala ‘Festival & Trade Fair Kickstart Kuching Kustom Kulture,’ persembahan aksi oleh Aaron Twite, ‘Talk: Essential motorcycle safety & management’, ‘ KIBW Time Attack’, ‘KIBW Kool Kid Contest’, ‘Miss KIBW’, ‘Mr Fitness’, ‘Talk: Adventure Touring’, ‘Battle of the Bands’ dan ‘Street Dance Battle’ dari jam 10 pagi.

Pada jam 7 malam diadakan ‘Gala Dinner’ bertempat di Hotel Imperial yang dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan tetamu jemputan lain dengan acara cabutan tiket bertuah berupa hadiah utama berupa motosikal Kawasaki Z800 bernilai RM50,000 untuk dimenangi.

Kemeriahan diteruskan pada hari keempat dengan ‘Festival & Trade Fair’, persembahan aksi oleh Aaron Twite, ‘ KIBW Time Attack Finals’, ‘Battle of the Bands’ dan ‘Street Dance Battle’ dan pengumuman ‘Miss KIBW’ serta Majlis penutupan oleh Abdul Karim bermula jam 10 pagi sehinga petang di CityOne Rooftop dan CityOne Ground Floor.

Pada sebelah petang, diadakan konsert mempamerkan persembahan oleh ‘Papa Rock’ Datuk Ramli Sarip ditemani oleh Man Kidal di CityOne Megamall.

Penyertaan boleh dibuat pada harga RM60 hingga RM120 dan untuk maklumat lanjut layari www.kibw.com.my atau lawati Facebook: Iron Tiger Bikers Club Kuching.