Sarawak atasi Lions, kekal dalam Liga Super musim depan

0
SELAMAT: Para pemain Sarawak meraikan gol pertama ke atas Lions pada saingan Liga Super di Stadium Negeri malam tadi. Sarawak kekal dalam Liga Super musim depan.

SELAMAT: Para pemain Sarawak meraikan gol pertama ke atas Lions pada saingan Liga Super di Stadium Negeri malam tadi. Sarawak kekal dalam Liga Super musim depan.

KUCHING: Sarawak kekal beraksi dalam Liga Super musim depan selepas menewaskan Lions XII 2-1 pada perlawanan kedua terakhir musim ini di Stadium Negeri, malam tadi.

Sebelum sepak mula, kedudukan Sarawak agak cemas apabila cuma lima mata di atas ATM dalam carta liga, justeru keputusan satu lagi perlawanan genting malam tadi iaitu di antara ATM dan Sime Darby tidak lagi bermakna.

Sime Darby menewaskan ATM 1-0 pada perlawanan tersebut.

Perlawanan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan tampak berhati-hati mencatur gerakan sehinggalah minit ke-17 apabila tandukan Mohd Hairol Mokhtar didakap kemas oleh penjaga gol Lions, Mohd Izwan Mahbud.

Patrick Nyema memecah kebuntuan apabila tandukannya menewaskan Mohd Izwan susulan sepakan sudut Ivan Fatic pada minit ke-22 sekali gus membolehkan skuad bimbingan Fuad Grbesic mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan tuan rumah, pasukan pelawat di bawah kendalian Fandi Ahmad cuba bangkit dan Muhd Khairul Nizam nyaris menyamakan kedudukan, namun percubaannya tersasar di hadapan gawang Sarawak.

Dalam keghairahan memburu gol penyamaan, pemain Lions Muhd Safuwan dilayangkan kad kuning oleh pengadil Zulkifli Ahmad pada minit ke- 26 kerana mengasari Ivan.

Sarawak turut meningkatkan rentak permainan dan percubaan Ryan Griffiths ditepis keluar oleh penjaga gol Lions.

Susulan sepakan sudut, rembatan Ivan tepat ditanduk masuk oleh Billy Mehmet pada minit ke-38 untuk kedudukan 2-0, lantas menggembirakan kira-kira 2,000 penyokong Sarawak.

Lions cuba merapatkan kedudukan namun penjaga gawang Sarawak, Mohd Fadzley Abdul Rahim tangkas menampan rembatan Muhd Hafiz pada minit ke-40.

Kedudukan 2-0 sehingga masa rehat.

Bersambung babak kedua, permainan agak hambar tanpa sebarang gerakan bahaya, justeru Fandi membuat percaturan dengan memasukkan Shahdan Sulaiman menggantikan Muhd Zulfahmi pada minit ke-59.

Sarawak cuba melebarkan kelebihan namun percubaan Billy dalam kotak penalti pada minit ke-61 ditangkap penjaga gawang Lions.

Selang tiga minit, seorang lagi pemain gantian dibawa masuk oleh pasukan pelawat apabila Mohd Sahil menggantikan Khairul Nizam, manakala Fuad memasukkan Mohd Dzulazlan Ibrahim menggantikan Mohd Shahrol Saperi pada minit ke-73.

Skuad Fandi akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-75 apabila Mohd Khairul Amri menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan selepas beliau dijatuhkan di dalam kotak bahaya oleh Ronny Harun.

Sarawak be rpe luang mengembalikan kelebihan dua gol pada minit ke-81, namun rembatan Ryan tersasar biarpun gawang gol Lions sudah ternganga luas.

Skuad Ngap Sayot terpaksa mengharungi minit-minit akhir perlawanan dengan sepuluh pemain apabila Ivan dilayangkan kad merah pada minit ke-84.

Ini berikutan dua kad kuning iaitu pertama kerana sengaja membuang masa pada minit ke-83 dan seminit kemudian sengaja membuang bola sekali gus tidak memberi sebarang pilihan kepada pengadil Zulkifli yang mengarahkannya keluar padang.

Billy cuba mengasak Mohd Izwan sekali lagi pada minit ke-87, namun percubaannya lemah dan mudah ditangkap penjaga gawang Lions itu.

Zulkifli memberikan tiga minit masa tambahan, namun benteng Sarawak berjaya bertahan untuk mengekalkan kedudukan 2-1 hingga wisel penamat.

Perlawanan terakhir Sarawak musim ini ialah menentang Kelantan di gelanggang lawan pada Sabtu ini.