Polisi terbuka

0

Sarawak buka taman negara, hutan simpan kepada penyelidik asing bagi tujuan pemuliharaan biodiversiti

KHAZANAH: Adenan (tiga kiri) melancarkan buku ‘Batang Ai: Rainforest, Wildlife and People’ sempena pelancaran RIMBA Sarawak dan MoU di Kuching semalam.

KHAZANAH: Adenan (tiga kiri) melancarkan buku ‘Batang Ai: Rainforest, Wildlife and People’ sempena pelancaran RIMBA Sarawak dan MoU di Kuching semalam.

// Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Sarawak membuka kawasan taman negara dan hutan simpan semula jadi kepada penyelidik asing bagi tujuan penyelidikan serta pembangunan antarabangsa.

Bagaimanapun, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, hasil daripada penyelidikan itu harus dikongsi bersama bagi tujuan pemuliharaan biodiversiti.

Adenan berkata, kerajaan negeri perlu mempunyai polisi terbuka bagi memboleh penyelidikan dan pembangunan antarabangsa ke atas biodiversiti di negeri ini.

Malah, beliau mengakui terdapat kelemahan mengenai polisi tertutup dilaksanakan sebelum ini dan ia harus diubah menjadi polisi terbuka terutama melibat pemuliharaan biodiversiti.

“Kita mewartakan taman negara dan kawasan simpan semula jadi tetapi kita menutupnya daripada dikunjungi penyelidik antarabangsa bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.

“Justeru, sekarang kita membuka kepada penyelidik asing tetapi hasil daripada penyelidikan itu tidak boleh menjadi hak milik persendirian. Sebaliknya, harus dikongsi bersama pihak negeri bagi tujuan pembangunan dan pemuliharaan biodiversiti,” ujarnya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Pelancaran RIMBA Sarawak (Research for Intensified Management of Bio-rich Areas of Sarawak) dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri James Masing, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Wong Ting Chung serta yang lain.

Tambah Adenan, meski-pun kerajaan kini membenarkan penyelidik asing menjalan kajian di kawasan kaya dengan biodiversiti, namun mereka harus patuh kepada peraturan serta undang-undang.

Bagi tujuan itu, Adenan mengingatkan pihak yang berwajib seperti Sarawak Foresty dan Jabatan Hutan Sarawak supaya tidak mengeluarkan permit penyelidikan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak mahupun individu.

Sehubungan itu, sebagai kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri ke atas idea pemuliharaan biodiversiti, Adenan pada majlis semalam mengumumkan penubuhan Akaun Amanah Pemuliharaan Hidupan Liar.

Akaun amanah ini, jelasnya, diwujudkan khas bagi menerima sumbangan pen-gecualian cukai daripada individu, institusi atau mana-mana entiti bagi tujuan menjalankan penyelidikan, pembangunan, pengurusan atau perlindungan yang berkaitan dengan pemuliharaan hidupan liar.

Selesai pelancaran RIMBA Sarawak, Adenan turut me-nyaksikan upacara menandatangani MoU antara Sarawak Forestry dan empat institusi saintifik antarabangsa ter-kemuka.

Empat institusi terlibat dalam RIMBA Sarawak ialah Smithsonian Institution dari Amerika Syarikat, Royal Botanic Garden Edinburg dari United Kigdom, Lee Kong Chian Natural History Musuem, National University Singapore dan Wildlife Conservation Society.

Sebelum majlis berakhir, Adenan turut melancar-kan buku ‘Batang Ai: Rainforest, Wildlife and People’ terbitan Borneo Adventure.