Dua laporan analisis siber mengenai barang kes pencerobohan Lahad Datu

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa seorang pengurus keselamatan siber menyediakan dua laporan analisis siber mengenai beberapa barang kes berkaitan pencerobohan Lahad Datu.

Fauzi Mohd Darus dari Cyber Security Malaysia berkata laporan pertama disediakan pada September 2013, manakala laporan kedua, yang disediakan pada April tahun lepas, turut mengandungi butiran terperinci mengenai dapatan tentang barang kes berkenaan.

“Versi kedua laporan tersebut juga mempunyai ‘Exhibit Returned Form’ (borang pemulangan barang kes) yang dimasukkan atas permohonan seorang pegawai penyiasat polis,” katanya.

Fauzi memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima barang kes berkenaan untuk dianalisis pada 29 Mac 2013.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013.

Fauzi berkata beliau juga menyediakan satu cakera padat (CD) bersama versi pertama laporan itu, tetapi tidak menyertakan CD bagi laporan versi kedua.

“Ini kerana laporan versi kedua merujuk kepada data yang terkandung dalam CD yang disertakan bersama laporan versi pertama),” katanya.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan, termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 1 Sept ini. — Bernama