Jerebu di Sarawak dijangka pulih akhir September: KP MetMalaysia

0

Musim monsun yang panas, jerebu rentas sempadan antara penyumbang

KUALA LUMPUR: Cuaca berjerebu yang sedang melanda Sarawak dijangka pulih pada akhir September ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada jerebu di negeri itu ialah musim monsun yang membawa cuaca panas dan kering, yang diramalkan berlanjutan hingga September; pembakaran terbuka serta jerebu merentas sempadan dari negara jiran berpunca daripada pembakaran terbuka.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah, memakai penutup mulut dan minum banyak air berikutan tahap udara tidak sihat yang melanda negeri Sarawak sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kecil ASEAN Mengenai Meteorologi dan Geofizik ke-37 yang akan berlangsung selama tiga hari, mulai hari ini, di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Noorul Ainul Mohd Nur yang mewakili Menteri MOSTI Datuk Madius Tangau.

Bernama semalam melaporkan beberapa kawasan di Sarawak mencatatkan tahap udara tidak sihat, antaranya ialah Sri Aman dan Samarahan masing-masing mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 118, manakala Kuching mencatatkan IPU 110.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), dan 300 ke atas (bahaya).

Mengulas lanjut, Che Gayah berkata keadaan jerebu di Sarawak hanya akan pulih sepenuhnya sekiranya negeri itu menerima taburan hujan yang banyak dan tidak berlaku lagi sebarang pembakaran terbuka termasuk di negara jiran.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan segera jika ada pihak melakukan perbuatan tersebut.

Dalam pada itu, Che Gayah berkata MetMalaysia merancang untuk menggunakan sistem ‘ShakeMap’ menjelang akhir tahun ini untuk memberi maklumat terperinci mengenai kejadian gempa bumi seperti masa, tarikh, lokasi dan kategori gempa bumi tersebut (penarafan dari tahap rendah sehingga bahaya).

Beliau berkata ‘ShakeMap’ telah diguna pakai oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat dan sistem itu amat penting untuk tujuan penyelidikan serta perancangan menghadapi bencana pada masa depan.

Sementara itu, Noorul Ainul berkata, pusat amaran tsunami komprehensif perlu ditubuhkan di ASEAN berikutan kemusnahan dahsyat akibat bencana alam itu di Acheh, Sumatera pada 26 Disember 2004 memandangkan rantau ini dikelilingi lingkaran gunung berapi.

Selain tsunami, gempa bumi turut melanda Gunung Kinabalu, Sabah pada 5 Jun tahun ini, iaitu paling buruk di Malaysia, mewajarkan langkah awal diperlukan untuk memantau aktiviti kegiatan gempa bumi dan mengelak kemalangan jiwa pada masa akan datang, katanya. — Bernama