Tingkat kapasiti

0

Sarawak perlu tiga kali ganda kapasiti TVET untuk penuhi keperluan SCORE menjelang 2030

TERTARIK: Adenan bersama tetamu kehormat lain melawat salah satu gerai pemeran sempena Persidangan TVET Dunia 2015 di Kuching, semalam.

TERTARIK: Adenan bersama tetamu kehormat lain melawat salah satu gerai pemeran sempena Persidangan TVET Dunia 2015 di Kuching, semalam.

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Sarawak terpaksa menggunakan khidmat tenaga kerja mahir dari luar untuk bekerja dalam sektor perindustrian di negeri ini sekiranya kapasiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedia ada tidak dipertingkatkan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata berdasarkan kajian oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dianggarkan 600,000 tenaga kerja mahir dan separa mahir diperlukan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menjelang tahun 2030.

Menurutnya, ketika ini 54 institusi TVET awam dan 35 lagi milik swasta di Sarawak hanya mempunyai kapasiti keseluruhan kira-kira 30,000 pelatih.

Institusi-institusi itu, katanya, hanya dapat melahirkan kira-kira 11,000 pemegang sijil dalam pelbagai gred setahun.

“Pada kadar semasa, kita hanya dapat melahirkan kira-kira 170,000 pekerja mahir menjelang 2030. Kita perlu meningkatkan kapasiti ini.

“Sarawak memerlukan peningkatan tiga kali ganda dalam pendaftaran bagi memenuhi keperluan negeri khasnya dan negara amnya,” ujarnya ketika berucap merasmikan Persidangan TVET Dunia 2015 di sini semalam.

Justeru, ujarnya, Sarawak menerusi Yayasan Sarawak, telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEX) dengan semua program ditawar dibangunkan menerusi konsultasi dan penglibatan terus pemain-pemain industri.

Katanya, konsultasi dan penglibatan terus pemain-pemain industri penting untuk memastikan latihan ditawar relevan serta memenuhi keperluan industri.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Malaysia merancang sekurang-kurangnya dua lagi CENTEX akan ditubuhkan. CENTEX di Lundu akan mula beroperasi tahun ini menggunakan fasiliti-fasiliti sementara, ketika kampus baharu dalam proses pembinaan,” jelasnya.

Selain itu, katanya, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) akan membuka pusat baharu di Mukah dan Lawas, manakala kampus sedia ada di Kuching serta Miri akan diperbesarkan.

Adenan menambah, TVET yang ditawarkan mesti sesuai dengan keperluan program-program industri di negeri ini, jika tidak semua pelan perindustrian serta pembangunan ekonomi akan gagal.

“Sebab itu, kita (kerajaan negeri) komited membangunkan modal insan untuk memastikan rakyat kita berpengetahuan tinggi, berkemahiran, kreatif dan inovatif.

“Sarawak memperkenalkan pelan pembangunan jangka panjang, Pelan Transformasi Sosioekonomi (SETP) dengan memfokuskan pembangunan industri hiliran dengan nilai tambah tinggi,” katanya.

Ujarnya, untuk mencapai impian itu, Sarawak perlu membangunkan modal insan dan mempelbagai pertumbuhan ekonomi.

Dalam hal itu, menurut Adenan, penyertaan serta kerjasama kerajaan negeri, kerajaan persekutuan seterusnya pihak swasta amat perlu untuk membangunkan tenaga kerja mahir dan separa mahir di Sarawak.

Sementara itu, Pengerusi PPKS, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dalam ucapan aluannya berkata sebagai penganjur utama persidangan itu, PPKS menyediakan latihan teknikal dan vokasional sejak 20 tahun lalu.

“Untuk rekod, PPKS telah melahirkan lebih 45,000 pelatih dan graduan dengan kadar mendapat pekerjaan ialah 70 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Selebihnya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi lain,” katanya.

Mengulas mengenai persidangan itu, Abdul Aziz berkata ia acara terbesar dianjurkan PPKS setakat ini, membabitkan penyertaan 700 delegasi dan penceramah mewakili lebih 28 negara dari seluruh dunia.

Persidangan bertema, ‘Lonjakan Besar: Transformasi dan Globalisasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) – Kemahiran Hidup dalam Abad Ke-21’ diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Selain persidangan, turut diadakan sepanjang persidangan dari 25 hingga 27 Ogos itu ialah pameran kerjaya membabitkan pelbagai institusi TVET dari dalam dan luar negara.