Lebih 100 guru BI, kakitangan hadiri ELTDP

0

KOTA KINABALU: Lebih 100 guru Bahasa Inggeris dan kakitangan pentadbiran dari 57 sekolah rendah di Kota Kinabalu mengambil bahagian dalam Projek Pembangunan Guru Bahasa Inggeris (ELTDP) simposium mini di sini, Isnin lepas.

ELTDP adalah sebahagian usaha Kerajaan Malaysia meningkatkan kemahiran guru Bahasa Inggeris sekolah rendah, terutama dalam konteks kurikulum baru Bahasa Inggeris yang menekankan pendekatan komunikatif dan membuat pembelajaran menyeronokkan.

Projek itu melibatkan kira-kira 2,000 guru di 600 sekolah di Sabah dan Sarawak, termasuk 25 sekolah di Kota Kinabalu.

Di bawah kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan British Council, mentor daripada majlis itu ditugaskan untuk menjalankan projek di lima buah sekolah.

Simposium mini bertemakan ‘Ilham dan Diilhamkan’ itu memberi peluang kepada guru-guru dan para mentor yang terlibat dalam ELTDP untuk berkongsi pendekatan kreatif mereka dalam pengajaran.

Peserta mendapat pembelajaran bagaimana menggabungkan cerita interaktif, nyanyian, komik, boneka, drama dan aspek lain untuk menjadikan pembelajaran satu pengalaman yang menyeronokkan bagi para pelajar.

Pada majlis penutup simposium mini itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Bad Hamid Musli berkata, sesi perkongsian dalam simposium mini memberi manfaat kepada sekolah, khususnya dalam meningkatkan kualiti guru dalam strategi pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.

“Kita berharap pengetahuan diperolehi dalam simposium mini ini akan dikongsi bersama dengan guru-guru lain di sekolah. Lebih banyak anda berkongsi, lebih banyak anda mendapatkannya,” katanya.