Penduduk Taman Richdar Menggatal akhirnya terima OC

0

KOTA KINABALU: Setelah 35 tahun menunggu, akhirnya penghuni Taman Richdar Menggatal menerima Sijil Pendudukan (OC), sekali gus memberi nafas baharu kepada pembeli rumah di taman perumahan berkenaan.

Berikutan itu, pemilik rumah taman berkenaan kini boleh tinggal, menyewakannya atau menjual rumah masing-masing.

Pengeluaran OC berkenaan disempurnakan oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Abidin Madingkir, berikutan pelbagai usaha dilakukan bersama oleh Kumpulan Chang Cheng bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Penyampaian OC diserahkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Chang Cheng, Tee Hong Wee dalam satu majlis di projek berkenaan kelmarin.

Dalam ucapannya, Abidin berkata penghargaan harus diberi kepada Kumpulan Chang Cheng yang banyak berusaha mendapatkan OC untuk pembeli taman berkenaan.

“Usaha dilakukan kumpulan itu sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta komitmen dan kerjasama daripada pihak tertentu.

“Dengan kerjasama erat, mereka berjaya memberikan kehidupan baharu kepada penghuni di Taman Richdar serta memberikan mereka harapan untuk masa hadapan,” katanya.

Abidin berkata penghargaan juga perlu diberikan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, para pegawai DBKK dan kesemua jururunding yang bersama-sama menjayakan perkara itu.

Katanya, kini pemilik rumah di taman itu boleh tinggal, menyewakan atau menjual rumah masing-masing.

Sementara itu, Tee berkata Taman Richdar adalah salah satu projek perumahan yang terbengkalai dan berhadapan pelbagai masalah, yang berjaya diatasi dan dimajukan.

“Kami menerima cabaran daripada pihak kementerian dan dengan usaha yang dilakukan, kami berjaya mencapai matlamat yang memberi sinar kepada pembeli.

“Jika terdapat perkara sama wujud pada masa hadapan, kumpulan kami sentiasa bersedia menyahut cabaran sedemikian,” katanya.