Pengerusi PIBG perlu dipilih secara terperinci: Tawfiq

0

Bagi kepentingan, kecemerlangan pendidikan anak-anak

TAWAU: Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah perlu dipilih secara terperinci dan bukan berlandaskan emosi semata-mata, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata perkara itu penting dalam memastikan hanya mereka yang mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan diberikam mandat bagi kepentingan dan kecemerlangan pendidikan anak-anak dan sekolah.

“Pelantikan pengerusi PIBG perlu diperincikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, jangan lagi pilih ikut emosi, sebab dia kawan kita jadi kita pilih, tetapi pilih yang boleh laksanakan amanah dan tanggungjawab yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sehari Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PBK) Bagi Sekolah-Sekolah Zon Tenggara Jabatan Pendidikan Sabah di sini kelmarin.

Tawfiq berkata PIBG berperanan besar dalam membantu pihak sekolah dan guru-guru melengkapkan kemudahan yang lebih baik serta memberi sokongan moral kepada mereka dalam usaha mendidik anak-anak.

“Kita tidak mahu Pengerusi PIBG yang tidak mampu membantu pembangunan sekolah malah menjadi penyebab penurunan prestasi sekolah kerana pihak sekolah memerlukan sokongan penuh dari PIBG,” tambah beliau.

Pada masa sama Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas meminta PIBG dan warga pendidik memberi komitmen sepenuhnya serta berdedikasi ketika menjalankan tanggungjawab mendidik.

“Kecemerlangan anak-anak pada peringkat sekolah akan menentukan kecemerlangan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan kejayaan peringkat IPT akan tentukan lahirkan pekerja mahir yang perlu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Negara memerlukan generasi muda yang berkemahiran, berinovasi dan mampu berfikir setanding dengan masyarakat antarabangsa,” katanya. — Bernama