SBBA mahu lebih banyak badan korporat anjur kejohanan sukan

0

KUCHING: Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) mahu melihat lebih banyak penglibatan badan-badan korporat dan bukan kerajaan dalam menganjurkan kejohanan sukan untuk disertai oleh masyarakat di sini.

Setiausaha Kehormat SBBA, Andy Ismail berkata penganjuran lebih banyak kejohanan akan memotivasikan atlet tempatan khususnya golongan remaja untuk melibatkan diri dalam bidang sukan yang mereka minati.

“Berdasarkan pengalaman kami dalam sukan bina badan, program seperti penganjuran Mr Boulevard 2015 menjadi batu loncatan bagi atlet remaja mencapai kejayaan yang mereka idamkan.

“Ramai atlet bina badan terkemuka Sarawak memulakan karier mereka dalam sukan tersebut dengan menyertai kejohanan ini.

“Justeru, sokongan organisasi tempatan melalui penganjuran kejohanan seumpama ini diyakini dapat mengembangkan industri sukan di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan akhbar berhubung penganjuran Kejohanan Mr Boulevard di Pusat Beli-Belah Boulevard pada Sabtu, 29 Ogos ini.

Andy turut memuji sokongan berterusan Boulevard Group dan Borneo Bodybuilding Supplement (BBS) terhadap pembangunan sukan bina badan Sarawak.

“Kita (SBBA) amat menghargai inisiatif Boulevard dengan menyertakan kejohanan ini dalam kempen ‘Health Month’ mereka.

“Bagi pihak BBS, mereka akan mempertandingkan kategori kecergasan iaitu Mr BBS,” tambahnya.

Andy turut melemparkan cabaran terhadap pengendali pusat gimnasium tempatan agar bekerjasama dengan agensi pelancongan untuk menganjur pertandingan terbuka di sini.

Tegasnya, langkah berkenaan akan membantu merancakkan lagi industri pelancongan negeri.

“Pertandingan terbuka merupakan sebahagian daripada pelancongan sukan – salah satu bidang yang belum diterokai dengan meluas di Sarawak.

“Saya yakin bina badan antara sukan yang boleh digunakan untuk mencapai objektif ini dan ia telah dipopularkan oleh beberapa negara ASEAN seperti Thailand dengan Siam Classics manakala Filipina terkenal dengan Kejohanan Terbuka Boracay.

“Malah Kuala Lumpur juga mula mencungkil peluang dari industri ini dan saya percaya dengan kerjasama erat dari semua, Sarawak juga boleh melakukannya,” jelas Andy sambil berkata banyak pertandingan akan dianjur pada September dan Oktober depan di sini.

Kejohanan Mr Boulevard akan mempertandingkan dua kategori iaitu Senior Bawah 70kg dan Senior Melebihi 70kg.

Pemenang setiap kategori termasuk Mr BBS akan menggondol RM1,000, tempat kedua RM500 dan ketiga RM200.

Bagi Mr BBS, peserta final tempat keempat hingga kelima akan menerima RM100.

Turut menjadi tumpuan perebutan gelaran “Champion of Champions”.

Semua peserta akan mendapat baju-T sumbangan penganjur.

Pertanyaan lanjut mengenai kejohanan boleh menghubungi Andy menerusi talian 012- 8862220, Sonny Chia (016- 8998263) dan Adrian Wong (019-8184343).