Jerebu tidak jejas sambutan Hari Kebangsaan

0

Tiada perancangan tunda sambutan Hari Kebangsaan 2015, keadaan jerebu masih stabil: Salleh

KUALA LUMPUR: Keada-an berjerebu dijamin tidak menjejaskan sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya setakat ini tiada sebarang perancangan untuk menunda sambutan Hari Kebangsaan 2015 ke hari lain memandangkan keadaan jerebu masih stabil.

“Kita telah siap sedia untuk mengadakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dan raptai penuh akan diadakan pada Khamis (29 Ogos) dan acara akan tetap diteruskan seperti biasa,” katanya ketika ditemui media pada persida-ngan dan pameran tahunan KL Converge! 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Beliau sekali lagi menggesa penganjur perhimpunan BERSIH 4.0 supaya me-nimbang semula rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2015 sebagai menghormati sambutan hari bersejarah negara itu selain memikirkan keselamatan umum.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015 Datuk Seri Othman Mahmood berharap sambutan Hari Kebangsaan pada hujung minggu ini ber-jalan lancar dan teratur dengan kerjasama pelbagai pihak serta seluruh rakyat.

“Dengan kesepakatan seluruh agensi kerajaan, swasta dan penyertaan daripada rakyat Malaysia sendiri, kami berharap agar sambutan tahun ini dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksi-kan raptai Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Beliau juga berharap seluruh rakyat akan beramai-ramai meluangkan masa menghadiri sambutan Hari Kebangsaan sebagai tanda cintakan negara.

Othman yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri berkata pihaknya menjanji-kan sambutan tahun ini diisi dengan acara perbarisan dan persembahan yang lebih bermutu untuk tontonan masyarakat pelbagai kaum serta pelancong asing.

“Tahun ini, kita ada sedikit kelainan daripada segi kedudukan pentas dan juga persembahan padang yang melibatkan anak-anak muda yang menunjukkan keseragaman.

“Jadi tahun ini, kita lebih kepada keseragaman, perpaduan, sehati sejiwa dalam kita mempertahankan cabaran negara,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli pula berkata acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2015 akan disertai kira-kira 10,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, anggota pasukan keselamatan serta pelajar sekolah.

Beliau yang juga Pengarah Persembahan dan Produksi Perbarisan Hari Kebangsa-an 2015 berkata para peserta telah menjalani latihan ekstensif bagi memastikan kelancaran sambutan pada hujung minggi ini, di mana peserta persembahan padang yang mempunyai formasi, menjalani latihan selama dua bulan untuk membuat persembahan selama 15 minit manakala peserta perbarisan pula berlatih kawad selama sebulan.

Justeru, beliau berharap tidak ada cubaan mana-mana pihak untuk mengganggu kelancaran Hari Kebangsaan sebagai hari yang bersejarah buat negara.

“Janganlah kita bertindak tidak rasional sehingga menjejaskan keselamatan orang awam apatah lagi anak-anak yang terlibat dengan perbarisan.

“Mereka sungguh bangga kerana terlibat dengan hari perbarisan ini dan janganlah kita curi kegembiraan itu daripada mereka. Hari kebangsaan adalah hari kita bersama,” katanya.

Penganjur BERSIH 4.0 merancang mengadakan perhimpunan itu di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya pada 29 dan 30 Ogos ini. — Bernama