Mayat lelaki belakang bangunan, wanita ditahan

0
SIASAT: Lim (dua kiri) bersama anggotanya melihat keadaan mayat mangsa.

SIASAT: Lim (dua kiri) bersama anggotanya melihat keadaan mayat mangsa.

KUCHING: Seorang wanita ditahan untuk membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang juga jirannya di belakang sebuah bangunan kedai di pusat komersil BDC di sini, semalam.

Wanita berusia 35 tahun itu ditahan selepas siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai berdekatan menunjukkan mayat lelaki terbabit dihantar seseorang menggunakan pikap jenis Toyota Hilux sekitar jam 1.15 petang.

Hasil siasatan awal, polis berjaya mengenal pasti Hilux berkenaan dan menahan wanita terbabit di rumahnya di Stutong Baru, yang juga terletak berdekatan rumah mangsa, beberapa jam kemudian.

“Wanita terbabit ditahan untuk membantu siasatan kerana rakaman CCTV mendapati Hilux yang ditemui di rumahnya itu dilihat berlegar-legar di kawasan tersebut dan memasuki tempat parkir di mana mayat lelaki terbabit dijumpai,” kata sumber.

Ketua Polis Daerah ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan tangkapan memberitahu, suspek sudah mengenali mangsa iaitu Patrick Jinggi, 48, sejak setahun lalu.

“Siasatan terhadap suspek mendapati dia telah membawa mangsa pulang ke rumahnya dari BDC sekitar jam 10.30 pagi dan sekitar jam 1 petang mangsa dikatakan sudah berada dalam keadaan tidak sihat.

“Menurut suspek, mangsa telah naik ke belakang keretanya dan dia terus menghantar mangsa ke BDC semula untuk mengambil motosikalnya sebelum mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri selepas itu.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke tempat kejadian dan meninggalkannya di tepi jalan,” jelas Roslan melalui kenyataan akhbarnya semalam.

Tambah beliau lagi, tiada kecederaan dijumpai pada badan mangsa dan kenderaan (Hilux) yang didaftarkan atas nama suami suspek juga telah dirampas.

“Suspek akan direman dan kes setakat ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” kata Roslan.

Beberapa anggota dari unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuching DSP Lim Bak Phai juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Isteri mangsa yang ditemui di tempat kejadian memberitahu suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan menghidap asma serta sakit dada.