Pemerolehan aset ATM diteruskan walau hadapi cabaran ekonomi: Hishammuddin

0

KUALA LUMPUR: Pemerolehan aset Angkatan Ten-tera Malaysia (ATM) di bawah Rancangan Malaysia ke-11 diteruskan walaupun negara menghadapi cabaran ekonomi global.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini antara lain termasuk menaik taraf helikopter Sikorsky S61A-4 ‘Nuri’, pesawat Hercules C-130, Korvet Kelas Laksamana dan pemerolehan aset lain merangkumi ketiga-tiga sayap ATM.

“Kita tak nafikan bahawa situasi ekonomi dunia, serantau dan negara cukup mencabar tetapi…saya yakin dengan perancangan rapi dilakukan kementerian dan ATM kita dapat hadapi cabaran ini.

Ini takkan jejaskan peranan utama ATM iaitu memastikan keselamatan negara dan juga moral serta kebajikan anggota dan veteran kita, tetap diberikan keutamaan,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan anugerah cemerlang pendidikan kepada anak anggota ATM di sini, semalam.

Majlis itu menyaksikan 230 anak anggota ATM di Lembah Klang yang cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia menerima anugerah.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin menarik perhatian bahawa beliau akan menerima kunjungan Menteri Pertahanan Perancis Jean Yves Le Drian pada Selasa ini antara lain dijangka membincangkan pemerolehan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) syarikat Dassault Aviation dari Perancis.

Beliau berkata keputusan mengenai pemerolehan aset itu yang sebelum ini disenarai pendek bagi menggantikan jet MiG-29, bergantung kepada pakej kewangan yang ditawarkan, selain kelulusan akhir daripada Kementerian Kewangan.

“Kementerian dalam hal ini, akan melihat dari segi keperluan dan cuba mendapatkan pakej kewangan terbaik,” katanya.

Pada Mac 2013, Malaysia menyenarai pendek lima jet tempur antaranya Eurofighter Typhoon buatan konsortium Eropah terdiri BAE Systems, EADS dan Finmeccanica; Rafale keluaran Dassault Aviation serta F/A 18 dari Boeing.

Terdahulu, beliau turut melancarkan dokumentari ‘Helicopter Heroes’ yang menceritakan mengenai kegigihan kru dan juruterbang helikopter ‘Nuri’.

Dokumentari berdurasi sejam itu akan ditayangkan di saluran Astro 555 atau 575 History Channel Asia pada Ahad, 10 malam dan Isnin pada jam 6 pagi, 11 pagi dan 3 petang. — Bernama