Sarawak sertai cabaran Merdeka Open Regatta 2015 di KK

0

MIRI: Persatuan Perahu Layar Negeri Sarawak dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak menghantar sebuah kontinjen pelayarannya ke Kejohanan KFC-NSC Merdeka Open Regatta 2015 di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Presiden Persatuan Perahu Layar Negeri Sarawak, Harifen Mansor memberitahu tujuan pihaknya menghantar pasukan untuk menyertai cabaran di Sabah itu ialah bagi memberi pendedahan kepada mereka menjelang persiapan SUKMA XVIII 2016 Sarawak.

“Kita berharap menerusi kejohanan tersebut yang berlangsung mulai 28 (hari ini) hingga 30 Ogos, para peserta akan memantapkan lagi kemahiran pelayaran mereka kerana mereka berpeluang berdepan dengan cabaran daripada pasukan- pasukan handal seluruh negara,” ujarnya.

Menurut beliau kejohanan tersebut yang juga merupakan penentuan bagi ‘Malaysia Ranking’ akan menyaksikan pasukan negeri bertanding dalam lima kategori iaitu Optimist, Laser Radial, Laser 4.7, Laser Standard dan 420 bot.

“Seramai tujuh atlet lelaki dan enam perempuan akan membawa cabaran Sarawak ke kejohanan itu kelak dengan harapan kita akan membawa pulang piala kemenangan melalui salah satu acara berkenaan sebagai suntikan semangat peserta,” kata Harifen lagi.

Terdahulu beliau menghantar pasukan berkenaan yang berlepas ke Kota Kinabalu menaiki penerbangan pagi semalam.

Tiga pegawai yang mengiringi atlet negeri ke kejohanan tersebut ialah Pengurus Pasukan merangkap Chepron, Suhana Mukah; Ketua Jurulatih, Hamdan Yahya dan Penolong Jurulatih Ismadol Maso’ot.