Transformasi TVET

0

Kerajaan ambil langkah kerjasama, tingkat kualiti program penuhi permintaan industri: Riot

INOVATIF: Riot (kanan) diiringi Pengerusi PPKS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain (dua kanan) serta Hallman (tiga kanan) melawat pameran sempena Persidangan TVET Sedunia 2015 di BCCK, semalam.

INOVATIF: Riot (kanan) diiringi Pengerusi PPKS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain (dua kanan) serta Hallman (tiga kanan) melawat pameran sempena Persidangan TVET Sedunia 2015 di BCCK, semalam.

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Kerajaan akan memberi tumpuan mentransformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan industri di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, ia termasuk memperkukuhkan kerjasama dengan industri negara, selain meningkatkan kualiti program dan industri.

“Ini juga termasuk penjenamaan keseluruhan sektor serta profil. Secara kolektifnya, perkembangan melahirkan graduan cukup mahir dan menjadikan TVET satu pilihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Persidangan TVET Sedunia 2015 anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Riot berkata, kerajaan menjangka pengambilan lepasan sekolah peringkat SPM untuk program TVET akan meningkat kepada 225,000 orang menjelang tahun 2020 berbanding 164,000 pada tahun 2013.

Tambah Riot, Malaysia memerlukan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam memacu secara inklusif pertumbuhan ekonomi mampan selain etnik serta moral.

Menurutnya, inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dijangka menjana kira-kira 1.5 juta pekerjaan baharu pada tahun 2020 di mana 60 peratus memerlukan kemahiran berkaitan TVET.

“Ini menjadikan TVET sebagai wadah paling penting untuk meningkatkan asas modal insan yang berkemahiran bagi Malaysia,” kata Ahli Parlimen Serian itu.

Mengenai persidangan tersebut, beliau berkata, ia dilihat platform terbaik dalam meningkatkan kemahiran menerusi perbincangan dan perbahasan banyak aspek dan komponen utama rangka kerja TVET.

“Antara segmen saya dapati sangat menarik ialah rangka kerja memperkasa belia terpinggir yang memberi tumpuan kepada strategi komunikasi, kerjasama dan kredibiliti.

“Saya percaya untuk mempercepatkan peningkatan besar daripada kadar pekerjaan graduan TVET, aspek keusahawanan perlu diterokai penyedia latihan TVET dan pelajar bagi mewujudkan kelebihan daya saing TVET,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif PPKS Hallman Sabri dalam ucapannya berkata, persidangan bertemakan ‘Lonjakan Kuantum: Transformasi dan Globalisasi TVET-Kemahiran Hidup pada Abad Ke-21’ selama tiga hari bermula 25 Ogos lepas mencatatkan 700 delegasi daripada 28 buah negara.

Persidangan  menampilkan 70 penceramah terkenal itu juga membincangkan pelbagai apsek semasa berkaitan TVET seperti peluang, isu dan cabaran.

“Saya mengandaikan kita semua bersetuju bahawa jurang besar wujud dalam pembangunan TVET di antara negara membangun dan maju.

“Maka, adalah menjadi harapan kita sebagai pemacu, TVET dapat memperolehi ilmu pengetahuan dan membawa balik idea inovatif serta dapat diterjemahkan kepada dasar, strategi dan pelan tindakan untuk manfaat masyarakat serta negara masing-masing,” katanya.