Abang Johari setuju Dewan Sepak Takraw PSS dinaik taraf

0

KUCHING: Penaung Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyambut baik usul agar Dewan Sepak Takraw milik Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) di Kompleks Stadium Sarawak dinaik taraf untuk dijadikan venue bagi menganjurkan acara sepak takraw pada SUKMA XVIII 2016.

Presiden PSS, Datuk Abang Khalid Abang Marzuki berkata Menteri Perumahan merangkap Menteri Pelancongan itu juga akan membawa usul berkenaan kepada kementerian terbabit dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.

“Datuk Amar (Abang Johari) bersetuju dengan cadangan kita agar Dewan Sepak Takraw PSS dinaik taraf supaya dapat menjadi gelanggang rasmi pada SUKMA 2016.

“Malah, beliau juga sependapat venue asal (Stadium MBKS, Pending) tidak sesuai dijadikan gelanggang rasmi acara sepak takraw,” kata Abang Khalid semasa mengadakan kunjungan hormat bersama Exco PSS terhadap Abang Johari di pejabat beliau kelmarin.

Menjelas lanjut, Abang Khalid memberitahu bahawa Abang Johari juga bersetuju membantu mendapatkan geran bagi tujuan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak yang diadakan di Kuching pada Oktober depan.

Namun, beliau turut menasihati persatuan akan menganjurkan kejohanan berkenaan setiap dua tahun sekali.

“Kita (PSS) terpaksa mengubah venue kejohanan ini dari Miri ke Kuching berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan,” jelasnya.

Beliau juga menjemput Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem merasmikan majlis makan malam sempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas PSS diadakan serentak dengan kejohanan itu.

Semasa pertemuan tersebut, Abang Khalid turut menjelaskan kepada Abang Johari mengenai aktiviti semasa PSS dan persiapan mereka menghadapi SUKMA XVIII 2016.

Ini termasuk perlantikan jurulatih dari Thailand, Sura Martwangsang membimbing skuad wanita Sarawak.