Kejohanan Sepak Takraw Piala DC ditunda pada satu tarikh baharu

0
RASMI: Paruwadi (kiri) dan isteri, Datin Siti Kadijah Abdullah (dua kiri) merasmikan cawangan keempat DP Ice Cream Gula Apong bersama ahli-ahli keluarganya di Kota Samarahan semalam.

RASMI: Paruwadi (kiri) dan isteri, Datin Siti Kadijah Abdullah (dua kiri) merasmikan cawangan keempat DP Ice Cream Gula Apong bersama ahli-ahli keluarganya di Kota Samarahan semalam.

KUCHING: Kejohanan Sepak Takraw Piala DC dijadual berlangsung pada Hari Raya Ketiga Aidiladha ditunda ke satu tarikh baharu.

Jawatankuasa penganjur, Datuk Paruwadi Musa berkata penundaan kejohanan tersebut terpaksa dilakukan berikutan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Selepas mengambil kira beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, saya bagi pihak penganjur iaitu Persatuan Sepak Takraw Saratok terpaksa menunda kejohanan itu.

“Sehubungan itu, penganjur ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” katanya ditemui pada perasmian pembukaan cawangan keempat DP Ice Cream Gula Apong di Kota Samarahan semalam.

Bagaimanapun, Paruwadi berkata penganjur masih mencari tarikh baharu yang sesuai bagi meneruskan penganjuran kejohanan tersebut.

Jelasnya, sebarang makluman terkini mengenai tarikh tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Cadangan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala DC pada setiap sambutan Aidiladha disuarakan oleh Persatuan Sepak Takraw Saratok susulan sambutan menggalakkan terhadap Kejohanan Sepak Takraw Piala DP yang diadakan awal Ogos ini.

Seperti Piala DC, Kejohanan Piala DP hanya berlangsung pada setiap sambutan Aidilfitri sebagai landasan melahirkan pemain-pemain sepak takraw berbakat dari Saratok dari sekitarnya.