Lelaki maut motosikal langgar belakang lori

0
MAUT: Anggota paramedik sedang memeriksa keadaan mangsa di tempat kejadian.

MAUT: Anggota paramedik sedang memeriksa keadaan mangsa di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang penunggang motosikal terbunuh akibat kecederaan parah di kepalanya selepas melanggar belakang sebuah lori di Jalan Tun Razak di sini, semalam.

Mangsa dikatakan dari arah Pending apabila dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar belakang lori berkenaan sekitar jam 5.40 petang.

Menurut sumber, lori tersebut dikatakan parkir di tepi jalan berkenaan kerana mengalami kerosakan.

“Lori tersebut rosak beberapa minit sebelum kejadian dan pemandunya juga dikatakan telah memasang tanda amaran di belakang lorinya itu.

“Difahamkan, mangsa mungkin tidak nampak tanda amaran tersebut sehingga menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar belakang lori berkenaan,” kata sumber berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki kehilangan kaki kanan selepas motosikal ditungganginya bertembung sebuah lori di Jalan Kota Samarahan-Serian di sini, semalam.

Mangsa berusia 45 tahun semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan menuju ke Serian apabila motosikalnya tiba-tiba hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan pada jam 9 pagi.

Ekoran itu, sebuah lori bergerak ke arah Kota Samarahan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa sekali gus menggilis kakinya.

Mangsa berasal dari Sri Aman itu cedera parah dan telah dikejar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan masih belum stabil dan menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.

Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.