Pengganti ketua jabatan negeri Sabah pikul cabaran besar: KM

0

Samakan tahap kecemerlangan ketua-ketua jabatan yang terdahulu

KOTA KINABALU: Pengganti ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Sabah memikul cabaran besar dalam menyamakan tahap kecemerlangan ketua-ketua jabatan terdahulu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata barisan ketua jabatan sebelum ini, yang melibatkan 46 jabatan daripada 10 kementerian negeri, telah membuktikan komitmen dan dedikasi masing- masing dalam melaksanakan setiap dasar kerajaan dengan baik dan membanggakan.

“Seperti yang sering saya tekankan, kita perlu sentiasa mengekalkan dan meningkatkan lagi kejayaan dan kecemerlangan termasuklah yang telah dicapai oleh ketua-ketua jabatan negeri sebelum ini.

“Justeru itu, ia merupakan satu cabaran dan motivasi kepada para pengganti untuk terus melakar kejayaan dan kecemerlangan,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang bagi 14 bekas ketua jabatan negeri di sini, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman.

Musa juga menasihatkan barisan kepimpinan jabatan negeri yang baharu supaya berinovatif dan kreatif dalam pemikiran dan keluar daripada ‘zon selesa’ masing-masing bagi memastikan kejayaan dan kecemerlangan itu berterusan.

Di samping itu, mereka perlu sentiasa membudayakan ciri-ciri kepimpinan, ketrampilan dan nilai-nilai integriti yang tinggi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kecemerlangan warga perkhidmatan awam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sudah tentu akan menyumbang kepada kejayaan pembangunan negeri dalam pelbagai sektor.

“Ini terbukti menerusi pencapaian dan kejayaan berterusan kita dari segi pengurusan kewangan dan indeks akauntabiliti, pertumbuhan positif ekonomi negeri, kecekapan pelaksanaan rancangan pembangunan seperti Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11, penurunan kadar kemiskinan, peningkatan sosioekonomi rakyat dan pencapaian kita dalam sektor-sektor lain,” katanya.

Musa turut melahirkan penghargaan kepada bekas ketua-ketua jabatan negeri berkenaan di atas sumbangan cemerlang mereka dalam menyokong segala perancangan kerajaan negeri untuk membangun dan memajukan Sabah. — Bernama