Penguasaan adik-beradik

0

Lee tiga beradik kuasai hari kedua Kejohanan Grand Sarawak 2015 di KGS

Oleh Harry Ilias //

BERSAING: Pendahulu kategori wanita, Angel Hii (dua kanan) bersama Kapten Kelab Golf Wanita Samarahan, Daisy Kon (kiri), Kapten Kelab Golf Wanita Sarawak, Pauline Gan (kanan) dan Kim Mi Ra.

BERSAING: Pendahulu kategori wanita, Angel Hii (dua kanan) bersama Kapten Kelab Golf Wanita Samarahan, Daisy Kon (kiri), Kapten Kelab Golf Wanita Sarawak, Pauline Gan (kanan) dan Kim Mi Ra.

KUCHING: Adik beradik Lee menguasai hari kedua Kejohanan Grand Sarawak 2015 ke-2 di Kelab Golf Sarawak (KGS) semalam.

Juara bertahan, Lee Ka Tung Kelab Golf Sibu (SGC) mencatat markah gross 154 yang turut disamai oleh adiknya, Lee Kah CHing dari Kelab Golf Miri (KGM) dan abang mereka, Lee Kah Tiong dari Kelab Golf Bintulu (KGB).

Tiga adik-beradik itu, Lee Kah Ming dari KGS merekod markah 159 untuk terus bersaing bagi merebut Trofi Cabaran YAB Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem.

Selain mereka, Abdul Rahim Abang Abdul Rahman turut berkongsi carta kedudukan teratas.

“Ia memang menarik dan sengit kerana kami tiga beradik bersama-sama mendahului dan saya berharap pemain terbaik muncul selaku pemenang,” kata Ka Tung mengenai peluangnya memenangi kejohanan itu buat kali kedua.

Ka Tiong mencuri tumpuan semalam selepas kembali dengan pukulan satu di bawah par 71 diikuti Ka Tung dengan empat di atas par 76.

Menurut Ka Tung, beliau perlu memperbaiki permainannya terutamanya dalam aspek memasukkan bola dalam lubang yang tidak begitu menjadi dalam dua hari sebelum ini.

“Saya berasa tertekan kerana menyertai pertandingan timbal balik dan saya merupakan juara bertahan,” jelas Ka Tung yang terpaksa mengenepikan kejohanan luar seperti di Sabah dan beliau juga juara bertahan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kota Kinabalau.

Sementara itu, pemain remaja yang kian naik dari Sibu, Steven Hii berjaya mengatasi lawan apabila kembali dengan markah gross 157 manakala Aziel Teo berkelebihan satu pukulan dengan Aaron Lau yang mengutip 160 markah.

Pemain remaja KGM, Lim Beng Keat mencatat 160 untuk mengatasi Bernard Yeo dengan 162 manakala Samdrick Yeo dengan 165 markah.

Kategori wanita pula dikuasai pemain berusia 12 tahun, Angel Hii dari KGS dengan mencatat 170 markah dan beliau berpeluang merangkul Trofi Cabaran Puan Sri Datuk Jamilah Anu jika tiada pemain mampu memberi cabaran pada perlawanan akhir hari ini.

Latifah Bujang bersama Christina Foo masih memberi saingan dengan masing-masing mengutip 190 dan 195 markah.

Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem dan isteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu dijangka merasmikan penutupan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang petang ini.