Kumpulan adakan perarakan pada perhimpunan BERSIH 4 disiasat

0

KUCHING: Polis sedang menyiasat dan akan mengambil tindakan ke atas satu kumpulan yang menyertai perhimpunan BERSIH 4 di Kuching pada 29 Ogos lepas kerana melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman dengan membuat perarakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata, kumpulan terbabit disertai kira-kira 400 orang yang telah berarak dari Hotel Hilton menuju ke lokasi perhimpunan di Padang Song Kheng Hai.

“Polis sudah memaklumkan syarat perhimpunan kepada penganjur dan salah satunya adalah tidak boleh berarak.

“Sebab itu, kami akan mengambil tindakan dan mungkin akan memanggil mereka terutama yang mengetuai perarakan ini untuk memberi keterangan,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Selain itu, Dev berkata pihaknya turut merampas 11 kain rentang berbentuk provokasi daripada kumpulan tersebut.

“Polis ada merampas ‘banner’ tetapi tiada tangkapan dilakukan ke atas individu… bagaimanapun, kesalahan mereka adalah kerana mengadakan perarakan,” katanya.

Walaupun Dev enggan mendedahkan pihak yang terlibat dalam perarakan itu namun diketahui bahawa aksi provokasi tersebutdilakukan oleh pemimpin dan penyokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.

Mereka mula berkumpul di hadapan Hotel Hilton sejak jam 1.30 petang dan tanpa menghiraukan arahan penganjur, kumpulan yang diketuai Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen itu meneruskan perarakan dan membawa ‘placard’ provokasi di sepanjang perjalanan ke Padang Song Kheng Hai.

Justeru, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad turut menegaskan bahawa tindakan kumpulan terbabit adalah melanggar syarat-syarat yang telah diberikan kepada penganjur dan ia sekarang dalam siasatan.

“Walaupun ada alasan diberikan oleh pihak terbabit yang menyatakan bahawa mereka meletakkan kereta di sana (Hotel Hilton) tetapi kenapa mereka berjalan beramai-ramai sambil membawa kain rentang.

“Mereka cuba mengaburi mata kami tetapi tindakan perlu diambil dan ia akan menyusul kemudian,” katanya.

Selain itu, Roslan berkata keterangan juga akan diambil daripada Pengerusi BERSIH 4 Kuching Nicholas Mujah.

“Kami belum lagi memanggil Nicholas untuk soal siasat tetapi perkara ini dalam tindakan polis,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa empat laporan polis telah diterima berkaitan BERSIH 4 Kuching setakat semalam.

Katanya dua laporan adalah berkaitan kain rentang yang diturunkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta satu laporan masing-masing tentang perlanggaran syarat perhimpunan iaitu perarakan dan penayangan video secara terbuka tanpa permit.

“Kami sudah menerima empat laporan polis tetapi tiada tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata polis akan terus mengawal serta tidak membenarkan penggunaan Padang Merdeka di sini bagi mengelakkan peserta BERSIH 4 mengadakan perhimpunan di situ sempena 31 Ogos ini.