Miskin bukan alasan gagal dalam akademik

0

Kemiskinan sepatutnya dijadi dorongan terus menimba ilmu kerana kerajaan sedia pelbagai bantuan

Oleh Kepu Sidi //

BELAWAI: Jangan jadikan faktor kemiskinan sebagai halangan untuk  memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata sepatutnya kemiskinan dijadikan dorongan untuk terus menimba ilmu kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan.

“Walaupun hidup  susah atau miskin, jangan sesekali-kali mengabaikan pendidikan,” katanya.

Jelasnya, mereka wajar merebut apa sahaja peluang dalam usaha melahirkan rakyat berilmu dan berdaya maju.

“Peluang yang disediakan oleh kerajaan harus digunakan sebaik mungkin oleh ibu bapa agar anak-anak tidak terlepas daripada menerima kemudahan yang disediakan.

“Oleh kerana itu, ibu bapa harus menitikberatkan pendidikan anak-anak bermula di peringkat akar umbi supaya dapat melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Len berkata demikian pada perasmian Program Nur Sejahtera Remaja anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) P206 Tanjung Manis di Dewan Perikanan Laut Sarawak, Belawai, semalam.

Pelbagai aktiviti diadakan pada majlis berkenaan merangkumi sesi ceramah daripada Jabatan Agama Islam Sarikei, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Sarikei.

Program berkenaan melibatkan penyertaan 100 peserta yang terdiri daripada  belia kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belawai.

Menurut Len, generasi muda hari ini perlu membina jati diri sebagai seorang yang berilmu, berakhlak mulia dan berhemah bagi meneruskan pembangunan dan kepimpinan negara pada masa depan.

Katanya nilai positif itu boleh menjadi perisai kepada mereka untuk menolak segala elemen negatif.

Menurutnya, sebagai bakal pemimpin pelapis, generasi muda wajar menghayati sejarah sekali gus menghargai perjuangan pemimpin terdahulu.

“Suasana harmoni yang kita nikmati hari ini adalah satu nikmat tidak ternilai. Justeru, ia mesti dipertahankan supaya kekal selamanya,” katanya.

Len berkata pembangunan yang dikecapi hari ini juga hasil daripada corak hidup masyarakat yang hidup saling menghormati, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Ujarnya, senario positif itu juga berkait rapat dengan suasana negara yang tenteram dengan rakyatnya terus menikmati kemakmuran.

“Untuk mengekalkan keamanan negara yang dihuni masyarakat pelbagai kaum bukan mudah. Sebagai rakyat, kita patut bersyukur. Kekal dan tingkatkan perpaduan sedia ada.

“Suasana pendidikan hari ini sudah jauh berbeza daripada dulu. Kini,  kerajaan sentiasa berusaha menawarkan bantuan kepada mereka yang layak menerusi tawaran biasiswa atau kaedah bersesuaian,” katanya sambil mengingatkan belia yang berusia 21 tahun ke atas agar mendaftar sebagai pengundi.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Dayang Raoyah Abang Adeng.