Bandong Walk dimajukan secara berperingkat

0

Pembangunan berperingkat mampu menjadikannya tarikan pelancongan baharu di Sibu

Oleh Borhaniza Ali Basah //

PELBAGAI: Dr Annuar (tengah) melawat gerai-gerai di Bandong Walk, Sibu malam kelmarin.

PELBAGAI: Dr Annuar (tengah) melawat gerai-gerai di Bandong Walk, Sibu malam kelmarin.

SIBU: Bandong Walk akan dimajukan secara berperingkat bagi menggalakkan kunjungan orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata pembangunan secara berperingkat itu mampu menjadikan Bandong Walk sebagai tarikan pelancongan baharu di sini.

“Saya akan memohon bajet untuk fasa kedua bagi menambah lebih banyak gerai pada masa akan datang.

“Melalui usaha ini, ia mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar Sibu.

“Saya telah berbincang dengan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), setakat ini kemungkinan dapat 15 tempat pada fasa kedua,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bandong Walk dan Pasar Malam anjuran Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Nangka dan Persatuan Pembangunan Komuniti Bandong Sibu (PPKBS) di Jalan Bandong di sini malam kelmarin.

Hadir sama pengerusi penganjur Abang Morni Datuk Abang Zainuddin, Naib Pengerusi SABERKAS Nangka Ibrahim Laili, Kaunselor Rabek Ali serta yang lain.

Dr Annuar memberitahu, untuk permulaan Pasar Malam Bandong hanya dibuka sebulan sekali dan dibuka setiap minggu jika mendapat sambutan pengunjung.

“Kami memohon kebenaran daripada MPS untuk menutup Jalan Bandong di sini sebulan sekali agar peniaga dapat berniaga dengan ruang lebih besar bagi memudahkan pengunjung membeli-belah,” katanya.

Sementara itu, majlis turut meraikan Hari Kebangsaan.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan karaoke, nyanyian, silap mata, bertandak, cabutan bertuah, tayangan filem Bukit Kepong dan lain-lain.

Bandong Walk merupakan ilham Dr Annuar mengumpulkan penjaja dengan menyediakan ruang niaga lebih selesa dan teratur.

Setakat ini, Bandong Walk mempunyai 23 gerai beroperasi dari pagi hingga malam dengan menyediakan pelbagai jualan makanan dan minuman serta barangan seperti pakaian, perhiasan dan lain-lain.