BERSIH yang tidak bersih

0

50 penduduk Simunjan diajak bersiar di Kuching akhirnya dihantar sertai perhimpunan BERSIH 4

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang memperdayakan penduduk dari Simunjan untuk kepentingan peribadi.

Beliau memberitahu, insiden melibatkan 50 penduduk dari Simunjan yang pada awalnya diajak untuk bersiar-siar di bandar raya Kuching akhirnya diperdaya apabila dihantar ke Padang Song Kheng Hai, Padungan di sini Sabtu lalu untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4, mencerminkan perhimpunan itu tidak bersih.

“Mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan di situ kerana pada awalnya mereka hanya diajak untuk bersiar-siar di bandar raya Kuching tetapi dihantar ke Padang Song Kheng Hai untuk menyertai BERSIH 4.

“Adakah perbuatan ini memberi makna sebenar apa itu BERSIH,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Malah, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata isu nasional yang dibangkitkan dalam perhimpunan itu tidak relevan dengan Sarawak kerana kerajaan di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sentiasa menitikberatkan isu rakyat.

“Mengapa mereka harus mensia-siakan masa untuk mendengar retorik kerana masa itu sepatutnya boleh digunakan untuk beriadah bersama keluarga,” tambahnya.

Tegasnya lagi, rakyat Sarawak seharusnya menggunakan platform yang betul untuk menyuarakan pendapat sekiranya ada ketidakpuasan hati dengan berjumpa sendiri pemimpin di negeri ini.

“Lakukanlah dengan cara kita sendiri bukannya mengikut apa yang orang luar lakukan untuk kita kerana bandar raya Kuching adalah Bandar Raya Perpaduan yang mendapat pengiktirafan di negara ini yang harus menjadi contoh kepada semua.

“Justeru tunjukkan dan buktikan kepada semua semangat perpaduan sebenarnya yang kita ada,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, 50 penduduk dari Simunjan yang menggunakan dua bas ke bandar raya ini melahirkan rasa hairan kerana dibawa menyertai perhimpunan BERSIH 4 di Padang Song Kheng Hai, Padungan.

Antara penduduk tersebut, Saao Nad yang memberitahu bahawa rombongan dari Simunjan itu dari empat kampung iaitu Kampung Temiang, Kampung Malanjok, Kampung Sungai Langkau dan Kampung Segunduk sebelum ini hanya dimaklumkan oleh individu bertanggungjawab pergi bersiar-siar ke bandar raya ini.

Bagaimanapun kesemua mereka dihantar ke padang itu untuk menyertai BERSIH 4 tetapi mereka enggan dan hanya duduk di kaki lima bangunan kedai makan Song Kheng Hai.