Empat syarikat dikompaun lakukan pembakaran terbuka

0

Setiap syarikat dikompaun RM9,000, penangguhan kelulusan permit pembakaran terbuka dikekalkan

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) sehingga semalam telah mengeluarkan empat kompaun ke atas beberapa syarikat tempatan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran.

Kontrolernya Peter Sawal berkata, setiap syarikat berkenaan dikenakan kompaun RM9,000.

“NREB telah mengeluarkan arahan untuk tidak memproses permohonan permit pembakaran terbuka buat sementara waktu berkuat kuasa 24 Ogos lalu berikutan keadaan cuaca yang kering, diburukkan lagi dengan jerebu rentas sempadan melanda Sarawak ketika itu.

“Sehubungan itu hasil penguatkuasaan kami, empat kompuan telah dikeluarkan terhadap beberapa syarikat tempatan kerana melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran setakat hari ini (semalam),” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Peter memberitahu bahawa penangguhan kelulusan permohonan permit kekal berkuat kuasa sehingga keadaan jerebu terutama di Kalimantan Barat, Indonesia pulih sepenuhnya.

Tambahnya, jerebu yang melanda Sarawak sejak lebih seminggu lalu berpunca daripada aktiviti pembakaran di Kalimantan Barat berdasarkan banyak titik panas dikesan di situ.

“Malah dua hari lepas keadaan jerebu di Kalimantan Barat amat teruk dan kita amat berharap tiupan angin monsun tidak akan membawanya ke sini, jika tidak kemungkinan besar Sarawak akan dilanda jerebu agak teruk semula seperti minggu lepas,” jelasnya.

Justeru ujarnya, NREB akan terus memantau situasi di dalam negeri dan sempadan negara sebelum penangguhan pemprosesan permohonan permit pembakaran terbuka ditarik balik.

Buat masa ini, NREB hanya membenarkan pembakaran terbuka terkawal dengan mengeluarkan permit kepada operator-operator untuk membersihkan sisa pertanian dan perladangan, ujarnya.

Pada masa sama beliau berharap penduduk dan syarikat perladangan khususnya tidak melakukan pembakaran terbuka keran ia boleh membawa kepada kebakaran belukar atau hutan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Orang ramai dinasihati melaporkan segera kepada NREB, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) jika mengetahui adanya aktiviti pembakaran terbuka supaya keadaan seperti sekarang dapat dikekalkan,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan jerebu di Sarawak ketika ini, Peter berkata keadaan baik dengan semua kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 16 hingga 58 (baik dan sederhana).