Empat tentera maut

1

Bumbung khemah bahagian belakang trak mereka tersangkut pada dahan pokok

Oleh Andy Sabang dan Micheal Ubam //

CEDERA: Beberapa anggota tentera membantu mengusung salah seorang rakannya yang memerlukan rawatan.

CEDERA: Beberapa anggota tentera membantu mengusung salah seorang rakannya yang memerlukan rawatan.

RAWATAN: Dua anggota tentera dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.

RAWATAN: Dua anggota tentera dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.

SIBU: Empat anggota tentera maut manakala sembilan cedera setelah bumbung khemah bahagian belakang trak dinaiki mereka tersangkut pada dahan sebatang pokok di tepi jalan di sini, malam kelmarin (Ahad).

Anggota tentera maut ialah Prebet Wan Farhan Fahmi, 23, Prebet Freedleeboy George, 27, Prebet Ismail Borhan, 23, dan Mohd Radzi Abdul Razak, 23.

Allahyarham Wan Farhan dikatakan tercampak dari trak terbabit, Mohd Radzi dilaporkan maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakan mereka meninggal dunia di Hospital Sibu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, trak membawa 18 anggota daripada Unit Kerahan Rejimen Askar Wataniah 501 Kem Sri Rejang dalam perjalanan pulang ke Kem Sri Rejang di jalan Kampung Nangka di sini.

Mereka sebelum itu menghadiri upacara ‘ngetas ulit’ bekas rakan mereka mendiang Thunderbirds di Kanowit.

Mendiang Thunderbirds dan seorang lagi rakannya, Fredrick Gramong sebelum itu, turut dilaporkan terbabit dalam insiden kecelakaan jalan raya.

Abang mendiang Thunderbirds, Petrus Angoh ketika dihubungi memberitahu bahawa kumpulan anggota terbabit berlepas pulang ke Sibu sekitar jam 3 petang.

“Selepas itu, saya tidak tahu pergerakan mereka sehinggalah dimaklumkan mengenai kejadian malang itu,” katanya yang turut bergegas ke lokasi nahas selepas diberitahu tentang insiden itu.

Difahamkan, pemandu trak Lans Koperal Jimo Al Bah Gad cuba mengelak bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun, trak terbabit gagal dikawal dan terbabas ke bahu jalan sebelum bumbung khemah bahagian belakangnya tersangkut pada dahan pokok.

Ini menyebabkan beberapa anggota tentera duduk di bahagian belakang tercampak keluar.

Trak terbabit dikatakan hanya berjaya diberhentikan beberapa meter dari lokasi ia mula-mula hilang kawalan.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Sibu menaiki ambulans hospital dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi memberitahu pihaknya berjaya menahan pemandu trak terbabit.

“Bagaimanapun, beliau dibebaskan selepas menjalani ujian air kencing atas jaminan polis,” katanya.

BERTENANG: Salah seorang anggota tentera membantu menenangkan seorang rakannya sementara menunggu bantuan.

BERTENANG: Salah seorang anggota tentera membantu menenangkan seorang rakannya sementara menunggu bantuan.