Fatimah kesal ibu bapa bawa anak hadiri perhimpunan

0

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah semalam kesal dengan tindakan segelintir ibu bapa yang sanggup meletakkan anak-anak dalam risiko kerana membawa mereka bersama menghadiri perhimpunan tidak disahkan tahap keselamatannya.

“Ibu bapa memang tidak sewajarnya membawa anak-anak kecil ke perhimpunan seperti ini. Anak-anak boleh terdedah kepada risiko yang berbahaya kepada keselamatan mereka,” katanya.

Fatimah menambah, kanak-kanak perlu dilindungi bukannya didedahkan kepada situasi yang berpotensi bertukar kecoh.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan akhbar semalam memetik pengerusi penganjur perhimpunan BERSIH 4 di bandar raya ini, Nicholas Mujah pada Sabtu lepas sebagai berkata, perhimpunan yang dihentikan lebih awal dan antara penyebabnya ada peserta membawa bersama anak-anak kecil.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada penganjur kerana telah bertindak bijak dengan menghentikan perhimpunan tersebut dengan mengambil kira aspek keselamatan.

Program perhimpunan BERSIH 4 yang dijadualkan hingga ambang Merdeka 31 Ogos di Padang Song Kheng Hai, Padungan di sini dihentikan tengah malam 29 Ogos.

Menurut Mujah, sebab utama perhimpunan ini dihentikan adalah berpunca daripada masalah komunikasi serta faktor keselamatan peserta terutama kanak-kanak.