Kemalangan: Wanita maut, suami patah kaki

0
MENYEDIHKAN: Mangsa maut di tempat kejadian.

MENYEDIHKAN: Mangsa maut di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang wanita maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki bersama suami berlanggar dengan sebuah kenderaan berhampiran Kampung Benuk, Jalan Puncak Borneo, di Padawan pada ambang merdeka.

Menurut sumber, dalam insiden sekitar jam 7 malam itu, mangsa bersama suami dalam perjalanan balik ke Kampung Bra’ang Payang.

“Bagaimanapun setibanya di kawasan Kampung Benuk, sebuah Perodua Myvi yang keluar simpang termasuk laluan mangsa dan suaminya tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan kereta tersebut,” kata sumber.

Ibu berusia 22 tahun yang cedera parah itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Suaminya yang patah kaki dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu Myvi tidak mengalami kecederaan serius.

Difahamkan, abang mangsa juga telah meninggal dunia baru-baru ini akibat kemalangan jalan raya.

Siasatan sedang dijalankan.

Dalam kes berasingan, tiga beradik dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak, selepas dipercik minyak panas ketika menggoreng telur di kediaman mereka di sebuah rumah pangsa di Jalan Matang, di sini.

Dalam insiden sekitar jam 11 malam itu, mereka sedang asyik menggoreng telur apabila api tiba-tiba membara.

Abang sulung yang berusia 21 tahun dikatakan menyimbah kuali berkenaan dengan air bagi memadamkan api itu sehingga menyebabkan minyak panas berkenaan terpercik.

Ibu mereka yang sedang tidur, terjaga apabila terdengar bunyi bising dari bahagian dapur, segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.

Keadaan tiga beradik itu bagaimanapun stabil.