Masing tidak terkejut penganjur hentikan perhimpunan BERSIH 4

0

KUCHING: Menteri Kanan Tan Sri Datuk Amar James Masing tidak terkejut dengan tindakan penganjur BERSIH 4 menghentikan perhimpunan di Padang Song Kheng Hai Sabtu lepas lebih awal daripada rancangan asal.

Ini kerana menurut Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah, perhimpunan tersebut telah digunakan sebagai platform untuk individu dan pihak dengan agenda tersendiri.

“Bagi saya, tindakan penganjur menghentikan lebih awal perhimpunan itu jelas menunjukkan bahawa mereka (penganjur) tidak mahu program mereka disalah guna oleh pihak lain,” katanya.

Perhimpunan BERSIH 4 pada asalnya dirancang bermula dari jam 2 petang pada 29 Ogos hingga tengah malam 30 Ogos menjelang ambang Merdeka.

Bagaimanapun, penganjur yang dipengerusikan Nicholas Mujah telah membuat keputusan untuk menghentikan perhimpunan tersebut pada jam 12 tengah malam 29 Ogos.

Difahamkan bahawa keputusan itu dibuat disebabkan tindakan pemimpin DAP yang melanggar arahan yang ditetapkan dengan berarak serta menyampaikan ceramah yang menimbulkan provokasi.

Mujah bagaimanapun menyangkal pemimpin DAP sebagai penyebab perhimpunan dihentikan lebih awal dan menegaskan ia berpunca daripada masalah komunikasi serta faktor keselamatan.

Tambah Masing lagi ketika dihubungi semalam, meskipun perkara ini tidak memeranjatkan beliau tetapi ia tidak bermakna beliau bersimpati dengan penganjur BERSIH 4.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya boleh bersimpati dengan Sarawak for Sarawakian (S4S) tetapi tidak dengan BERSIH.

“Malah kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan di ibu negara Sabtu lepas menjadikan Bersih 4 lebih teruk. “Cuba lihat kepada daftar pemilih di Sabah. Adakah ia bersih? Siapa yang mencontengnya? Ia dilakukan oleh Mahathir.

“Sekarang beliau (Mahathir) mahu menjadi seperti salji putih,” kata Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dalam nada sinis.