KUCHING: Penduduk tiga kampung iaitu Lidah Tanah, Bunga Rampai dan Bukit Panchor tidak bersetuju berada di bawah DUN Batu Kitang berikutan proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kampung Lidah Tanah Rodney @ Mohd Azmi Abdullah berkata ketiga-tiga kampung telah bermesyuarat dan membuat keputusan untuk keluar dari Batu Kitang dan menjadi sebahagian daripada kerusi Serumbu.
Serumbu merupakan salah satu kerusi DUN baharu selepas persempadanan semula iaitu dipecahkan daripada DUN Bengoh ketika ini.
“Kami pengundi dan ahli-ahli PBB dari tiga kampung telah sebulat suara untuk tidak bersetuju berada di bawah DUN Batu Kitang.
“Kami mahu di bawah DUN Serumbu dan berpegang kepada keputusan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam PBB Zon Serumbu di sini, baru-baru ini.
Majlis makan malam tersebut yang dihadirioleh Timbalan Pengerusi PBB Cawangan Bengoh John Sora Rusah adalah untuk mengumumkan kepada ahli-ahli parti bahawa PBB berminat untuk mendapat kerusi baharu DUN Serumbu.
Mohd Azmi turut menegaskan bahawa jika SPR tetap berkeras untuk memasukkan ketiga-tiga kampung di bawah DUN Batu Kitang, maka mereka akan mendaftarkan diri sebagai pengundi di Serumbu.
“Batu Kitang adalah terletak di bawah Parlimen Stampin yang diwakili oleh wakil rakyat dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Kami hanya kampung Melayu dan pasti akan menjadi anak tiri dan kami tidak mahu ini berlaku kepada kami,” katanya.
Menurut beliau, terdapat lebih 700 pengundi di ketiga-tiga kampung berkenaan.
Beliau juga menjelaskan bahawa adalah wajar untuk ketiga-tiga kampung itu dimasukkan di bawah DUN Serumbu kerana kawasan mereka berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Bau.