Pengunjung pesta limau cemas pontun jeti tenggelam

0
CEMAS: Pontun (sebelah kiri) di jeti pekan Bintangor tenggelam semasa pesta air pada Pesta Limau 2015 sedang berlangsung, petang semalam.

CEMAS: Pontun (sebelah kiri) di jeti pekan Bintangor tenggelam semasa pesta air pada Pesta Limau 2015 sedang berlangsung, petang semalam.

BINTANGOR: Orang ramai di sini cemas apabila pontun di jeti pekan Bintangor tenggelam semasa orang ramai sedang membanjiri tebingan Bintangor untuk menyaksikan pesta air pada Pesta Limau 2015 di sini, petang semalam.

Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui berkata, kejadian itu amat dikesali dan sepatutnya tidak berlaku lebih-lebih lagi ketika festival besar berlangsung.

“Pihak terlibat dalam pengurusan pontun ini yang harus dipersalahkan kerana tidak memeriksa lebih terperinci terhadap daya tahan pontun.

“Pada 29 Ogos lalu, saya ada berbincang dengan mereka mengenai masalah pontun ini tetapi mereka menggunakan alternatif lain menanganinya,” katanya.

Jelasnya lagi,  jika pihak berkaitan memeriksa pontun itu dengan lebih terperinci, kejadian itu tidak akan mencemari penganjuran Pesta Limau 2015.

Beliau turut melahirkan rasa lega kerana orang ramai sempat melarikan diri ke tebing daripada terus jatuh serta tenggelam ke sungai bersama pontun terbabit.

Jelasnya, kejadian itu amat membahayakan keselamatan orang ramai ketika menyaksikan pesta air.

“Keadaan pontun ini memang sudah uzur dari dulu lagi dan perlu diganti dengan yang baharu. Namun pihak berkenaan gagal bertindak.

“Saya terkilan kerana mereka tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik seperti melepas batuk di tangga sahaja,” katanya.

Menurut Ting, mungkin penduduk di sini tahu bahawa keadaan pontun itu tidak selamat namun orang luar tidak tahu sama sekali mengenai masalah berkenaan sehingga mereka membahayakan diri menyaksikan pesta air.

“Saya berharap kejadian ini tidak berulang lagi pada Pesta Limau akan datang,” tambahnya.

Justeru, beliau menasihati pengunjung Pesta Limau 2015 supaya tidak mendekati kawasan pontun itu.