Rumah diceroboh, penjawat awam kerugian RM10,000

0

KUCHING: Seorang penjawat awam mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila kediamannya di Taman Satria Jaya, di sini dipecah masuk.

Menurut wanita berkenaan, insiden itu hanya disedarinya pada malam Ahad, selepas meninggalkan rumah berkenaan tanpa penghuni sehari sebelumnya.

Katanya pencuri dipercayai masuk ke rumah berkenaan dengan cara memanjat bumbung sebelum memecahkan siling di bahagian dapur.

Antara barangan yang hilang termasuk minyak wangi, jam tangan, pakaian dan komputer riba.

Rakaman kamera litar tertutup dalam rumah katanya, jenayah itu dilakukan seorang lelaki.

Laporan polis telah dibuat dan rakaman berkenaan juga diserahkan untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, seorang pembantu penyelia turut mengalami kerugian apabila kuarters kediamannya di Estet Perindustrian Pending dipecah masuk.

Menurut mangsa, dia sedang berada di kampung di Sadong Jaya apabila menerima panggilan telefon daripada iparnya yang mengatakan rumahnya dipecah masuk.

Pencuri yang dipercayai masuk dengan mengumpil kunci pintu utama, melarikan televisyen skrin rata, pemain DVD, telefon bimbit dan lain-lain.

Laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.