‘The Borneo Post Run’ semakin dapat sambutan

0

Oleh Borhaniza Ali Basah //

PELEPASAN: Vincent (lima dari kanan) melakukan ‘flag-off’ bersama tetamu kehormat yang lain.

PELEPASAN: Vincent (lima dari kanan) melakukan ‘flag-off’ bersama tetamu kehormat yang lain.

SIBU: Jumlah penyertaan larian ‘The Borneo Post Run’ semakin bertambah setiap tahun.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan See Hua Temenggung Vincent Lau Lee Ming berkata sejak penganjurannya pada 2011, aktiviti larian anjuran The Borneo Post Sdn Bhd dengan penaja eksklusifnya Yeo’s itu terus mendapat sambutan daripada semua lapisan masyarakat di Sibu mahupun luar kawasan Sibu.

“Pada tahun 2011, pada penganjuran julung kalinya, kita berjaya menarik seramai 600 penyertaan dan bilangan itu terus bertambah pada tahun-tahun berikutnya iaitu 800 penyertaan pada 2012, 1,000 penyertaan pada 2013 dan tahun 2014 memperlihatkan penyertaan seramai 1,600 peserta.

“Seperti yang kita lihat, tahun ini angkanya terus meningkat apabila ‘The Borneo Post Run 2015’ pada hari ini telah mendapat penyertaan seramai lebih 2,200 peserta dari segenap lapisan masyarakat mahupun daripada penduduk Sibu atau luar kawasan Sibu,” kata Vincent.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian ‘The Borneo Post Run 2015’ di Dataran Sibu Fasa Satu di sini pagi semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Komunikasi Korporat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad Joe Wong, Penolong Pengurus Pemasaran See Hua Sdn Bhd Kueh Nguan Seng, Pengurus Jualan (Semenanjung Malaysia) Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad Billy Chin dan Pengurus Borneo Post Cawangan Sibu Lawrence Ling.

Vincent memberitahu, aktiviti larian ‘The Borneo Post Run 2015’ telah menyediakan lima kategori untuk dipilih oleh peserta dan kategori larian ‘Fun Run’ sejauh empat kilometer antara yang paling banyak mendapat penyertaan pada tahun ini.

Katanya kategori ‘Fun Run’ semalam telah menarik seramai 700 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur.

Selain itu, tahun ini menyaksikan aktiviti larian berkenaan telah mendapat penyertaan julung kalinya daripada sekumpulan 42 atlet kurang upaya daripada Special Olympics Bahagian Sibu yang mengambil bahagian dalam kategori ‘Fun Run’.

“Kita berasa sangat gembira kerana aktiviti Borneo Post Run ini sebagai sebuah usaha komuniti untuk mempromosi gaya hidup sihat dan merapatkan hubungan masyarakat di Sibu, telah mendapat sambutan setiap tahun dengan penyertaan yang kian bertambah.

“Sambutan ini akan lebih menyemarakkan lagi semangat kita untuk memastikan The Borneo Post Run akan terus dianjurkan setiap tahun,” kata Vincent dengan penuh semangat.

Sementara itu dalam ucapan penutupannya Joe berkata, Yeo’s selaku penaja eksklusif ‘The Borneo Post Run 2015’ menzahirkan penghargaan kepada para peserta larian yang memberi sambutan menggalakkan terhadap aktiviti larian berkenaan.

Katanya Yeo’s secara keseluruhannya ingin menggalakkan semua rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan aktiviti riadah dan amalan pemakanan yang seimbang.

“Menerusi satu penyelidikan rasmi pada tahun 2014, Malaysia telah menjadi juara tersendiri antara negara Asia yang lain, di mana 49 peratus wanita dan 44 peratus lelaki di negara ini adalah penghidap obesiti.

“Dalam erti kata lain, daripada dua rakyat Malaysia, seorang adalah obesiti,” dedah Joe.

Untuk itu, Yeo’s telah menghasilkan pelbagai produk pemakanan yang sihat contohnya Yeo’s Sparkling H-Two-O dan Yeo’s Green Tea yang mempunyai keupayaan untuk menambah dehidrasi dan membantu pengurangan berat badan, tambah Joe.

Sementara itu, pelepasan (flag-off) peserta larian ‘The Borneo Post Run 2015’ telah dirasmikan oleh Vincent dan tetamu kehormat yang lain sekitar jam 7.45 pagi.

Dataran Sibu Fasa Satu telah bertukar kepada lautan biru apabila para peserta yang menggunakan baju tema aktiviti larian itu yang berwarna biru mula membanjiri Dataran Sibu seawal jam 7 pagi.

ALBUM: Vincent (lima kanan) bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa pada aktiviti itu.

ALBUM: Vincent (lima kanan) bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa pada aktiviti itu.

BERSEMANGAT: Para peserta menyertai acara senamrobik.

BERSEMANGAT: Para peserta menyertai acara senamrobik.

BERMULA: Para peserta memulakan larian sekitar jam 7.45 pagi.

BERMULA: Para peserta memulakan larian sekitar jam 7.45 pagi.

YEO’S: Kumpulan Sapphira Fitness Centre dengan gaya bersama minuman sihat daripada Yeo’s.

YEO’S: Kumpulan Sapphira Fitness Centre dengan gaya bersama minuman sihat daripada Yeo’s.

MERIAH: Lautan biru di Dataran Sibu pagi semalam.

MERIAH: Lautan biru di Dataran Sibu pagi semalam.