Bangkai buaya ditemui terapung di Sungai Seblak

0
MENGGEMPARKAN: Bangkai seekor buaya ditemui penduduk terapung di Sungai Seblak semalam.

MENGGEMPARKAN: Bangkai seekor buaya ditemui penduduk terapung di Sungai Seblak semalam.

ROBAN: Bangkai seekor buaya dianggarkan sepanjang 12 kaki ditemui terapung di Sungai Seblak berhampiran pangkalan Klinik Lama Roban, di sini awal pagi semalam.

Penemuan itu menjadi tarikan penduduk dan pelbagai spekulasi seperti buaya itu mati ditembak, termakan pancing dan tidak kurang beranggapan disebabkan serangan buaya ganas.

Penduduk, Angking Kasa, 45, berkata bangkai buaya itu ditemui beberapa penduduk, tersangkut di dahan pokok di tebing sungai ketika air Sungai Seblak surut.

“Kami terhidu bau busuk ketika melalui kawasan tersebut dan selepas memantau ternampak bangkai seekor buaya terapung.

“Berita penemuan bangkai buaya itu tersebar pantas di kalangan penduduk di pekan Roban menyebabkan lokasi bangkai buaya ditemui penuh sesak,” kata Angking ditemui di sini semalam.

Sungai Seblak salah satu lokasi terkenal dengan buaya ganas berikutan kejadian beberapa serangan buaya direkodkan berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Sebelum ini, reptilia ganas yang mempunyai sejarah serangan tersendiri bermula 2007 dan tujuh orang mangsanya merupakan nelayan dan seorang isteri Tuai Rumah Sungai Anak.

Mangsa terakhir ialah Adrian Thomas, 32, dari Rumah Mawan Ason, Empayak Roban menjadi korban serangan pada November 2013.

Daripada jumlah itu, hanya seorang mangsa terselamat iaitu Annuar Sulaiman, 39, seorang nelayan berasal dari Kampung Melayu Roban.

Sejarah Annuar lebih menarik kerana dia adalah anak kepada seorang mangsa serangan buaya di sungai sama iaitu Sulaiman Abdullah, 66, yang menjadi mangsa kelima serangan buaya di Sungai Seblak.

Situasi serangan hampir sama ke atas kedua-dua mangsa, yang membezakannya bapa mangsa Sulaiman Abdullah maut akibat serangan, tetapi anaknya Annuar selamat dan hanya mengalami kecederaan.