Penunggang motosikal terbunuh, isteri cedera parah dalam kemalangan

0

Oleh Jeremy Lanson//

 

PARAH:Mangsa menerima rawatan kecemasan daripada anggota EMRS sebelum dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

PARAH:Mangsa menerima rawatan kecemasan daripada anggota EMRS sebelum dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

KUCHING: Seorang lelaki terbunuh akibat diheret beberapa meter selepas motosikal yang ditunggangnya bersama isteri terlibat kemalangan jalan raya di Petra Jaya, di sini semalam.

Mangsa,Yakmin Shah Said Ghulam Shah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 4.30 petang.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Pakistan bersama isterinya yang berasal dari Kampung Matang Batu 10 dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya.

Bagaimanapun, setibanya di Jalan Tun Datuk Partinggi Abdul Rahman Ya’akub, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar belakang sebuah Proton Iswara yang rosak dan diparkirkan di tepi jalan raya berkenaan.

CEDERA:Isteri mangsa ditenangkan oleh orang awam sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

CEDERA:Isteri mangsa ditenangkan oleh orang awam sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

Mangsa dan isterinya tercampak ke tengah jalan raya berkenaan menyebabkan sebuah kereta jenis Perodua Viva melanggar isteri mangsa dan mangsa pula dilanggar dan diheret sebuah kereta jenis Proton Wira.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut segera membantu kedua-dua mangsa serta menghubungi pihak ambulans untuk bantuan kecemasan.

“Mangsa dan isterinya telah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans HUS serta pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Bagaimanapun, mangsa yang menerima rawatan awal pemulihan kardiopulmonari (CPR)disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya dimasukkan ke Zon Merah Unit Kecemasan HUS,” kata sumber.

Sementara pemandu kereta Viva dan Wira dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik berdekatan.

Anggota polis dari Unit Trafik IPD Kuching turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.